MBSP tekad tingkatkan perkhidmatan, rai ulang tahun ke-6 bandar raya

Admin
img 0909 DATUK Bandar turut meluangkan masa melawat gerai pameran sempena berlangsungnya Sambutan Hari Bandaraya Seberang Perai Ke-6 Tahun 2025 dan Majlis MBSP Santuni Komuniti di perkarangan Menara Bandaraya di sini pada 20 September 2025.

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) bertekad meningkatkan kualiti perkhidmatan pelanggan demi menyantuni komuniti setempat selepas genap enam tahun berstatus bandar raya.

 

img 0906
DATUK Bandar MBSP (tengah) dan Farizul Arif Abdul Mutalib (kiri) masing-masing menerima sijil anugerah dan pengiktirafan berkaitan daripada pegawai Malaysia Book of Records (MBOR) di sini tadi.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Badrul Amin Abdul Hamid berkata, usaha itu dilaksanakan melalui Program MBSP Santuni Komuniti.

“Program MBSP Santuni Komuniti adalah penting untuk mendengar denyut nadi masyarakat dan memahami isu-isu setempat serta bersama-sama membina literasi tentang kebersihan, keselamatan dan keharmonian kawasan persekitaran.

“Saya percaya apabila rakyat berasa mereka didengari dan disantuni, mereka akan bangkit bersama-sama kita (MBSP).

“Justeru, sempena ulang tahun ke-6 sambutan Hari Bandaraya Seberang Perai, saya menyeru seluruh warga Seberang Perai – sama ada dalam MBSP, komuniti, agensi kerajaan mahupun swasta – marilah kita terus berganding bahu untuk terus membina bandar raya ini secara inklusif (iaitu) tidak ada sesiapa pun ditinggalkan.

“Marilah bersama-sama kita membina bandar raya Seberang Perai yang progresif (iaitu) sentiasa bergerak ke harapan; berdaya saing pada peringkat global; serta sejahtera untuk generasi kini dan akan datang,” katanya.

Beliau berucap demikian pada Majlis Perasmian Hari Bandaraya Seberang Perai Ke-6 Tahun 2025 dan MBSP Santuni Komuniti yang berlangsung di perkarangan parkir awam Menara Bandaraya, di sini pada 20 September 2025.

Hadir sama, Setiausaha Bandaraya MBSP, Mohd. Ibrahim Md. Nor; barisan Ahli Majlis PBT berkenaan; Pegawai Penyelaras KADUN (PPK) Seberang Jaya, Fayyadh Afiq Albakqry Jaafar Sidek;serta Ketua Pegawai Eksekutif JKP Sdn. Bhd., Farizul Arif Abdul Mutalib.

Majlis turut diserikan dengan pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) yang menganugerahkan MBSP sebagai ‘Pihak Berkuasa Tempatan Terpantas Meluluskan Permohonan Pelan Kebenaran Merancang’. Pengiktirafan itu disampaikan pegawai MBOR, Mohamad Nazrul Hafiz Ahmad Fauzi.

Pelbagai acara turut diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-6 antaranya pertandingan mewarna, memancing, gubahan tuala, pakaian kreatif kanak-kanak daripada bahan kitar semula, sepak penalti, pertandingan anak seiras ibu bapa, senam sihat, pameran agensi kerajaan dan swasta, gerai jualan makanan serta Program MBSP Santuni Komuniti.

 

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB