Menelusuri jejak Sheikh Haji era kapal laut di Seberang Perai

Admin
whatsapp image 2026 01 20 at 20.20.15

DALAM lipatan sejarah perjalanan ibadah haji orang Melayu, nama Sheikh Haji pernah berdiri sebagai watak utama yang menghubungkan Tanah Melayu dengan Tanah Suci Mekah.

Namun, seiring perubahan zaman dan kemunculan sistem pengurusan moden, peranan mereka kian tenggelam dan hampir dilupakan.

Atas kesedaran inilah, satu penyelidikan mendalam telah dijalankan bagi menjejaki kembali jasa dan sumbangan Sheikh Haji, khususnya yang beroperasi di Seberang Perai semasa era kapal laut.

Penyelidikan ini dilaksanakan oleh Penyelidik dari Pusat Pengajian Ilmu Universiti Sains Malaysia (USM), PROF. MADYA DR. AIZA MASLAN BAHARUDIN melalui geran bernilai RM23,500 yang dianugerahkan oleh Think City Sdn. Bhd.

whatsapp image 2026 01 20 at 20.20.25
Dr. Aiza Maslan Baharudin menunjukkan dokumen asal berkaitan perjalanan haji yang diperoleh daripada waris Sheikh Haji yang berja dikesan.

Beliau yang juga Penasihat Galeri Haji Pulau Pinang berkata, geran tersebut menjadi pemangkin kepada penghasilan satu kajian terbaharu yang memperluaskan fokus sejarah haji di negeri ini, daripada tumpuan tradisional di bahagian pulau seperti Lebuh Acheh, kepada Seberang Perai yang sebelum ini kurang diberikan perhatian.

Dari Lebuh Acheh ke Seberang Perai

Sebelum ini, Aiza berkata kajian berkaitan Sheikh Haji banyak memusatkan perhatian di bahagian pulau terutamanya di Lebuh Acheh yang sememangnya dikenali sebagai pusat kegiatan haji dan keilmuan Islam di Pulau Pinang.

“Namun, melalui geran Think City, kami merasakan keperluan untuk merangkumi Seberang Perai, sekali gus membuka lembaran baharu dalam penulisan sejarah haji tempatan.

“Hasilnya, beberapa penemuan penting berjaya direkodkan, termasuk menjejaki Sheikh Haji yang aktif semasa era kapal laut dan beralamat di Seberang Perai.

“Penemuan ini bukan sahaja memperluaskan peta sejarah haji Pulau Pinang, malah membuktikan bahawa Seberang Perai turut memainkan peranan signifikan dalam ekosistem pengurusan haji suatu ketika dahulu,” katanya kepada watrawan Buletin Mutiara, SUNARTI YUSOFF dan jurugambar, MUHAMMAD IQBAL HAMDAN ketika ditemui sempena wawancara khas di Galeri Haji Pulau Pinang, Lebuh Acheh dekat sini pada 20 Januari 2025.

Aiza berkata, usaha menjejaki Sheikh Haji bukanlah tugas yang mudah kerana maklumat mengenai mereka amat sukar diperolehi memndangkan tidak ada penulisan formal atau penerbitan khusus yang mendokumentasikan peranan dan kehidupan mereka.

whatsapp image 2026 01 20 at 20.20.24

“Penyelidikan ini banyak bergantung kepada bahan-bahan cetakan lama seperti risalah, majalah dan buku cenderamata yang diterbitkan secara bermusim.

“Antara bahan paling bernilai ialah majalah Pemandu Jemaah Haji yang merupakan sebuah koleksi yang amat nadir (rare) dan tidak terdapat dalam simpanan awam termasuk Arkib Negara.

“Sebahagian koleksi ini sebenarnya diperoleh daripada simpanan peribadi arwah Cikgu Muhammad yang pernah menetap di No. 69, Lebuh Acheh, berhadapan Masjid Melayu Lebuh Acheh,” katanya.

Aiza berkata, melalui penelitian iklan-iklan dalam majalah sekitar tahun 1960-an dan 1970-an, beliau berjaya mengenal pasti beberapa nama dan alamat Sheikh Haji yang pernah memainkan peranan aktif ketika itu.

Tambahnya, senarai tambahan turut dirujuk daripada Laporan Tahunan Haji sehingga  membolehkan sekitar enam hingga tujuh orang Sheikh Haji berjaya dijejaki melalui waris masing-masing, walaupun kesemuanya telah lama meninggal dunia.

“Namun, cabaran timbul apabila alamat-alamat lama ini kebanyakannya sudah tidak wujud lagi akibat pembangunan yang semakin pesat.

“Oleh itu, usaha menjejak lokasi dilakukan menggunakan aplikasi digital seperti Google, namun perubahan landskap bandar menjadikan proses ini penuh kekangan,” jelasnya lagi.

Peranan besar Sheikh Haji dalam dunia serba terhad

Aiza berkata, penemuan tersebut juga penting kerana menyorot kembali peranan besar Sheikh Haji dalam menguruskan perjalanan haji dalam era yang penuh dengan cabaran.

whatsapp image 2026 01 20 at 20.20.23

“Walaupun Tabung Haji telah wujud ketika itu, namunperanan agensi itu masih terhad dan tidak sebesar fungsi yang dimainkan oleh Sheikh Haji.

“Merekalah yang bertanggungjawab menguruskan keseluruhan perjalanan jemaah, bermula daripada kempen di kampung-kampung, pembelian tiket kapal, pengurusan barangan, sehinggalah penyediaan rumah tumpangan di sekitar Pulau Pinang.

“Dalam konteks masyarakat Melayu yang ketika itu kurang kemahiran berbahasa Arab dan terhad pengetahuan mengenai prosedur ibadah haji, Sheikh Haji berfungsi sebagai pembimbing, penghubung dan pelindung mereka.

“Ketika berada di Tanah Suci pula, Sheikh Haji menghubungkan jemaah dengan wakil-wakil mereka di sana yang merupakan satu tugas yang amat mencabar dalam era tanpa teknologi komunikasi moden,” katanya.

Pameran sebagai medium pencerahan

Jelas Aiza, hasil daripada penyelidikan yang dijalankan kemudian diterjemahkan di dalam bentuk pameran fizikal yang menampilkan bahan-bahan nadir berkaitan Sheikh Haji.

Katanya, objektif utama pameran tersebut adalah untuk memperkenalkan generasi masa kini, terutamanya golongan muda mengenai Sheikh Haji dan peranan penting mereka dalam sejarah ibadah haji orang Melayu.

whatsapp image 2026 01 20 at 20.20.09

“Antara bahan pameran utama ialah buku cenderamata Pemandu Jemaah Haji yang hanya diterbitkan pada musim haji dan tidak disimpan di arkib atau mana-mana perpustakaan awam.

“Buku-buku ini turut memuatkan iklan-iklan komersial pada zaman tersebut, termasuk penemuan menarik mengenai Kopi Hang Tuah di Tasek Gelugor yang masih wujud hingga kini.

“Jenama kopi ini pernah menjadi penaja jemaah haji yang mana kopi mereka dibancuh di atas kapal untuk dihidangkan kepada para jemaah sepanjang pelayaran,” katanya.

Aiza berkata, buat masa ini, pameran hanya diadakan secara fizikal dengan kemungkinan inisiatif digital dipertimbangkan pada masa akan datang.

“Bahan-bahan pameran ini juga pernah dipamerkan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Permatang Pauh dari 2 hingga 26 Disember 2025 yang turut disertai sesi taklimat khas mengenai Sheikh Haji,” ujarnya.

Suara generasi terakhir

Menurut Aiza lagi, antara detik paling bermakna dalam penyelidikan tersebut ialah kejayaan menemubual individu yang pernah mengalami sendiri pengalaman perjalanan haji menaiki kapal laut dari Pelabuhan Butterworth.

Salah seorang daripadanyaialah Sheikh Tuan Haji Zubir dari Lubuk Merbau, yang dipercayai antara jemaah terakhir menaiki kapal haji dari Butterworth.

“Selain itu, kami turut menemubual Datuk Daud Che Ngah yang memulakan kerjayanya di Tabung Haji sebagai pegawai kebajikan haji di atas kapal.

whatsapp image 2026 01 20 at 20.20.17whatsapp image 2026 01 20 at 20.20.08 (1)

“Temubual-temubual ini memberikan gambaran jelas mengenai suasana pelayaran haji, termasuk perbezaan ketara antara Pelabuhan Swettenham di Pulau Pinang yang meriah seperti pesta kali tiba setiap musim haji, berbanding Pelabuhan Butterworth yang hanya berfungsi sebagai lokasi transit.

“Walaupun kebanyakan responden merupakan warga emas yang mengalami masalah pendengaran, namun ingatan mereka terhadap pengalaman haji masih kuat dan terperinci, menjadikan perkongsian mereka amat berharga,” katanya.

Harapan dan kelangsungan warisan

Aiza turut menyifatkan penyelidikan yang dijalankan sebagai sangat signifikan dalam membantu masyarakat Melayu memahami kesukaran dan pengorbanan generasi terdahulu dalam menunaikan ibadah haji.

Katanya, melalui kajian tersebut masyarakat dapat menelusuri bagaimana barangan diangkut, kehidupan di atas kapal sepanjang hampir 14 hari pelayaran serta cabaran yang dihadapi oleh jemaah dan Sheikh Haji ketika itu.

“Semua penemuan ini akan dipamerkan di Galeri Haji Pulau Pinang, selain beberapa pameran sementara yang dirancang pada masa akan datang.

“Harapannya, pameran dan hasil penyelidikan ini dapat memberikan pencerahan, menyemai penghargaan terhadap sejarah serta memastikan peranan Sheikh Haji tidak luput daripada ingatan masyarakat.

“Walaupun masih banyak perancangan lanjut tetapi kekangan yang kami hadapan adalah mengenai kos.

“Kami yakin usaha mendokumentasikan sejarah haji ini tidak akan terhenti di sini kerana jejak Sheikh Haji mungkin semakin pudar, namun melalui penyelidikan dan pameran ini, warisan mereka kembali diberi suara,” katanya menutup bicara.