Mengapa projek SPRWS masih sangkut? – KM

Admin

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Pulau Pinang telahpun memenuhi permintaan Kerajaan Pusat bagi mengoptimumkan penggunaan air dengan menaikkan kadar tarif air, tetapi, menjadi persoalan serius adalah mengapakah projek Skim Bekalan Air Mentah (SPRWS) dari Sungai Perak masih tersangkut?, soal Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng melalui kenyataan akhbarnya di sini baru-baru ini.

Persoalan tersebut adalah berikutan pendedahan jawapan bertulis kepada soalan Parlimen Guan Eng bertarikh 17 Jun lalu daripada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Sri Panglima Dr. Maximus Johnity Ongkili yang menyatakan bahawa projek SPRWS hanya boleh dilaksana dan dipertimbangkan sekiranya Kerajaan Negeri terlebih dahulu mendapat persetujuan bertulis daripada Kerajaan Negeri Perak bagi membekalkan air mentah ke sini (Pulau Pinang).

Berikut adalah soalan Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan dan jawapan yang diberikan oleh Menteri berwajib.

SOALAN :
Minta MENTERI TENAGA, TEKNOLOGI HIJAU DAN AIR menyatakan adakah Kerajaan akan mempertimbangkan permohonan pelaksanaan Skim Bekalan Air Mentah dari Sungai Perak (SPRWS) Pulau Pinang RM2 bilion bagi menjamin bekalan air mulai 2020. Sekiranya tidak, kenapa dan apakah langkah bagi mengelakkan bekalan air yang mencukupi menjelang 2020.

JAWAPAN :
Tuan Yang Dipertua,

Pada masa ini, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan pelaksanaan Projek Pembesaran Empangan Mengkuang di Pulau Pinang berjumlah RM1.2 bilion. Projek yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan ini dijangka siap menjelang tahun 2016 dan akan meningkatkan kapasiti takungan air mentah sedia ada dari 22 juta meter padu ke 73.5 juta meter padu iaitu peningkatan sebanyak 51.5 juta meter padu dan mampu membekalkan air mentah di seluruh negeri Pulau Pinang sehingga melepasi tahun 2020.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan operator bekalan air perlu mengoptimumkan penggunaan air Empangan Mengkuang dan pada masa yang sama mengutamakan usaha untuk mengawal penggunaan air per kapita kepada tahap yang munasabah. Sekiranya penggunaan air per kapita domestik bagi Pulau Pinang dapat dikawal sekurang-kurangnya pada paras 250 liter/kapita/hari bagi kawasan bandar dan 240 liter/kapita/hari bagi kawasan luar bandar, saya percaya bekalan air mentah sedia ada dijangka mencukupi sehingga tahun 2030.

Tuan Yang Dipertua,

Kerajaan Persekutuan berpandangan bahawa Skim Bekalan Air Mentah dari Sungai Perak (SPRWS) ke Pulau Pinang boleh dilaksanakan. Untuk itu, Kerajaan Pulau Pinang perlu terlebih dahulu mendapat persetujuan bertulis daripada Kerajaan Negeri Perak untuk membekalkan air mentah ke Pulau Pinang.

Ini memandangkan sumber air adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri. Setelah persetujuan antara Kerajaa Negeri Pulau Pinang dan Kerajaan Negeri Perak dicapai, maka cadangan tersebut bolehlah diangkat untuk pertimbangan Kerajaan Persekutuan.