Rashid hasrat hidupkan kawasan sekeliling Masjid Melayu

Admin

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon menyatakan bahawa Kerajaan Negeri berhasrat memajukan kawasan sekitar Masjid Melayu Lebuh Acheh di sini yang pernah mahsyur dalam kalangan umat Islam yang ingin menunaikan fadhu haji suatu
ketika dahulu.

“Saya berhasrat ‘menghidupkan’ kawasan sekeliling terutamanya rumah penduduk di sini supaya ia lebih ‘hidup’ dan segar.

“Perkara ini sudah lama dibincangkan dan kita (Kerajaan Negeri) akan menulis surat kepada Jabatan Warisan Negara bagi menilai peruntukan sewajarnya demi memajukan pelan tersebut,” ujarnya pada Majlis Berbuka Puasa di Masjid Melayu Lebuh Acheh Bersama-sama Yang di-Pertua  Negeri Tuan Yang Terutama (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas di sini baru-baru ini.

Hadir sama, mufti negeri Pulau Pinang, Sohibus Samahah Dr. Wan Salim Wan Mohd Noor.

Majlis berbuka puasa yang dianjurkan juga adalah bersempena sambutan hari Pengisytiharan George Town sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO pada 7 Julai 2008.

Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran para pelancong asing yang turut serta berbuka.

Tambah Mohd. Rashid, antara langkah-langkah yang difikirkan perlu dalam menceriakan kawasan berkenaan adalah pada aspek penambahan pencahayaan, papan tanda serta merangka lebih banyak aktiviti di kawasan sekitar.