Depoh khas parkir bas elak kesesakan, tiga lokasi dikenal pasti

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri telah mengenal pasti tiga tapak untuk diperkenalkan sebagai depoh khas meletak bas dalam usahanya mengurangkan kesesakan lalu lintas di bahagian pulau negeri ini.

Perkara tersebut dimaklumkan Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow selepas mengadakan Majlis Dialog Bersama-sama Pengusaha Bas dan Lori di sini 21 Disember lalu.

Menurut Kon Yeow, tiga kawasan berkaitan ialah di Batu Maung (berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, PIA), Persiaran Karpal Singh dan Tanjung Tokong (bersebelahan Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia)

“Bagi kawasan Batu Maung, sebanyak 80 ekar tanah milikan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) disediakan untuk tujuan tersebut.

“Manakala, bagi lokasi Persiaran Karpal Singh dan Tanjung Tokong, masingmasingnya milikan Kerajaan Negeri yang mampu menempatkan sejumlah 50 bas (Persiaran Karpal Singh) dan Tanjung Tokong (20) pada satu-satu masa.

“Depoh-depoh bas ini dijangka akan mula beroperasi seawal-awalnya Mac 2018, dan selepas ia diperkenalkan, SPAD (Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat) akan mengambil tindakan sekiranya pengusaha gagal berbuat demikian,” katanya pada majlis sidang media selepas pertemuan berkaitan.

Hadir sama, Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Kerajaan Tempatan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Aishah Norodin dan Pengurus Kanan Bahagian Pengurusan Unit Aduan SPAD, Zachary Ismail.

Terdahulu, sesi dialog tersebut dihadiri kira-kira 200 pengendali bas dan lori bersama-sama 13 agensi kerajaan termasuk SPAD, pihak berkuasa tempatan (PBT), Puspakom, Polis Diraja Malaysia dan lainlain. Forum tersebut antara lainnya turut membincangkan perkara-perkara berkaitan pematuhan dan aspek undang-undang.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berharap cadangan berkenaan akan mengurangkan kesesakan lalu lintas membabitkan aduan-aduan berhubung kenderaan panjang seperti bas pelancongan, bas kilang dan lori yang memakir kenderaan masing-masing di bahu-bahu jalan sehingga menghalang lalu lintas sebelum ini.

“Sebagai tambahan, turut diterima adalah peningkatan aduan daripada penghuni taman perumahan bahawa kenderaan-kenderaan ini juga diletakkan semalaman di kawasan-kawasan perumahan hingga menyebabkan gangguan kepada penduduk lain,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

Menurut Kon Yeow, Kerajaan Negeri sebolehnya cuba menyelesaikan masalah berbangkit berkenaan dengan menawarkan tanah sebagai alternatif.

“Kami (Kerajaan Negeri) memahami peranan logistik bas-bas dan lori ini yang merupakan antara pemacu utama ekonomi Pulau Pinang.

“Justeru, diharap cadangan ini mampu mengatasi masalah-masalah kawasan meletak kenderaan ini pada masa hadapan,” jelasnya.