Merantau selami ilmu pemasakan saji masakan kualiti

Oleh : YAP LEE YING

Gambar : ALISSALA THIAN

DEMI mencari pengalaman berniaga dalam bidang pemakanan, Yusman Yusof, 27, mula merantau ke seluruh pelosok Semenanjung sejak berusia 16 tahun.

YUSMAN Yusof.
YUSMAN Yusof.

Sudah pasti, hasratnya untuk merantau ke Kuala Lumpur pada usia sebegitu muda memperoleh bantahan daripada ibu beliau. Namun, demi mengejar impian, Yusman membawa diri ke ibu kota metropolitan tersebut.

“Apabila tiba di Kuala Lumpur, saya terus mencari kedai makan Indian Muslim untuk kerja. Masa tu, tiada kemudahan penginapan dibekalkan dan saya terpaksa tidur bertilamkan kertas kotak.

“Melihat keadaan saya, mereka (majikan) kemudian memberi bilik kepada saya. Namun, ekoran berlaku sedikit perselisihan faham, saya letak jawatan selepas dua minggu bekerja dan beralih ke sebuah kedai makan masakan Melayu bagi menimba pengalaman baru,’’ kata Yusman menerusi sesi wawancara bersama Buletin Mutiara (BM) di sini baru-baru ini.

Beliau yang kini merupakan pemilik Restoran Simpang 9 Corner Nasi Kampung dan Medan Selera terletak di Mukim 9, Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan (SPS) menyatakan bahawa penjawatannya di kedai makan tersebut banyak mendedahkan beliau kepada teknik-teknik pemasakan sehingga menyediakan dirinya untuk menjalankan perniagaan sendiri kini.

“Pada zaman belajar, mak dan ayah ‘ada’ kantin sekolah, sebab minat, saya banyak tolong. Malah, selepas habis peperiksaan PMR (Penilaian Menengah Rendah), saya tak sambung belajar sebab dah rasa diri memang tak boleh dah. Selepas itu, saya tolong abang jalankan perniagaan kantin sekolah.

“Sepanjang berkerja di Kuala Lumpur, saya dapat kenal ramai pengusaha kantin. Dari situ, saya belajar selok-belok berniaga dan ambil peluang belajar memasak sikit-sikit,’’ jelas Yusman.

Yusman yang kini dikurniakan dua cahaya mata hasil perkongsian hidup dengan Noor Saniah Said, 27, menegaskan bahawa pengalaman dari luar banyak mematang dan mendisiplinkan dirinya dalam bidang perniagaan serta masakan.

PELBAGAI jenis lauk-pauk disediakan.
PELBAGAI jenis lauk-pauk disediakan.

Malah, ia menjadi intipati kepada keyakinan Yusman untuk membuka kedai makan sendiri.

Perniagaannya yang kini mencecah usia empat tahun menawarkan pelbagai menu menarik. Antara hidangan yang menjadi kegemaran pengunjung dari dalam dan luar Pulau Pinang adalah ikan bakar, ayam panggang, sotong bakar, ikan keli bakar, gulai ayam kampung, sotong sambal dan banyak lain.

Istimewanya, sebanyak 40 jenis lauk – pauk yang dihidangkan dimasak oleh Yusman sendiri setiap hari.

“Kalau masak sendiri dapat jamin kualiti makanan. Kalau harap orang, kadang-kala elok dan tak, sebab kualiti masakan akan terikut-ikut dengan mood tukang masak,’’ jelasnya.

Pada peringkat permulaan, perniagaan Yusman hanya tertumpu kepada masakan Tom Yam yang dijual pada waktu malam. Selain takut akan cabaran, pemilik tapak berniaga beliau menjalankan perniagaan cuci kereta pada waktu siang.

Namun, ekoran faktor umur, pemilik tersebut kemudian membuat keputusan untuk memberhentikan perniagaan tersebut dan menyerahkan kepada Yusman untuk mengembangkan prospek kedai makan sedia ada.

Dengan sokongan penuh keluarga termasuk bapa mertua (yang juga memiliki perniagaan kedai makan di Alor Star, Kedah), Yusman menyahut cabaran berkenaan dengan menfokuskan kepada selera masakan kampung.

YUSMAN Yusof dan isteri meramahi pelanggan di restoran milik mereka.
YUSMAN Yusof dan isteri meramahi pelanggan di restoran milik mereka.

Dibantu 13 kakitangan, hasil komitmen dan kesabaran Yusman serta isteri, Alhamdullilah, rezeki beliau kian meningkat.

Bagi Yusman, cabaran utama dihadapi adalah pada aspek pekerja.

“Susah nak dapat pekerja yang betul-betul komited. Ramai yang bekerja sekejap dan kemudian berhenti.

“Memang hasrat di hati untuk membuka satu lagi cawangan, namun , apa yang membimbangkan adalah tiada jumlah pekerja mencukupi terutamanya pada hari minggu dan Jumaat,’’ katanya yang turut menasihatkan usahawan muda yang ingin berjaya supaya jauhi budaya lepak dan membuang masa.

PARA pengunjung sedang memilih kepelbagaian lauk-pauk yang dsediakan
PARA pengunjung sedang memilih
kepelbagaian lauk-pauk yang dsediakan