Merokok di kawasan diwartakan, berdepan kompaun atau penjara

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Mulai 1 Januari 2016, Jabatan Kesihatan Pulau Pinang (JKPP) bakal mengambil tindakan kompaun terhadap pesalah laku yang didapati merokok di kawasan-kawasan diwartakan sebagai kawasan bebas asap rokok melalui kempen Penang Bebas Asap Rokok (PENBAR) di sini.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Zailan Adnan berkata, sejak Julai lalu, melalui pelaksanaan PENBAR, Tapak Warisan UNESCO George Town telah diwartakan sebagai lokasi bebas asap rokok.

“Justeru, mulai tahun 2016, orang ramai tiada lagi alasan untuk menyatakan sebaliknya apabila berada di lokasi berkaitan.

“Malah, dalam memastikan kepatuhan terhadap polisi yang diperkenalkan, sebuahpasukan task force telah ditubuhkan sejak tahun lalu yang terdiri daripada anggota Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Penang Port Sdn. Bhd., Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan badan-badan bukan kerajaan (NGO).

“Justeru, bermula Januari 2016, mereka yang disabitkan dengan kesalahan merokok di kawasan berkaitan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun,” katanya pada Majlis Pelancaran Promosi Kempen PENBAR Bersama-sama Rapid Penang di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Rapid Penang Sdn. Bhd., Mejar (B) Mohd. Shukri Abdul.

Pada pelancaran tersebut, dua bas Rapid Penang Sdn. Bhd. (Rapid Penang) ‘dibalut’ dengan mesej berhubung kempen PENBAR.

Kempen PENBAR yang dilancarkan pada 1 Oktober 2012 telah mewartakan enam taman rekreasi di Pulau Pinang sebagai kawasan larangan merokok di bawah Peraturan (11), Peraturan Kawalan Hasil Tembakau. Susulan itu, pada 4 Julai 2015, ia turut diwartakan di Tapak Warisan UNESCO George Town.}