Dasar pengurusan sisa galak inisiatif pengasingan sisa & kitar semula

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri yakin pelaksanaan Dasar Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca menjelang Jun 2016 akan menyumbang ke arah pengurangan sehingga 30 peratus pembuangan sisa sekaligus menggalakkan inisiatif kitar semula.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, berdasarkan kajian tingkah laku oleh Penang Green Council (PGC) Strategies Sdn. Bhd. baru-baru ini, sekurang-kurangnya 86.5 peratus daripada 1,484 responden bersetuju sekiranya Kerajaan Negeri menguatkuasakan sistem pengurusan sisa yang lebih ketat.

“Majoriti responden percaya bahawa amalan segregasi atau pengasingan sisa di punca dan kitar semula dapat ditingkatkan sekiranya orang ramai terikat dengan penguatkuasaan undang-undang.

“Penguatkuasaan ini termasuklah di pusat-pusat membeli-belah, rumah-rumah kedai, kilang, kampungkampung dan kediaman bertingkat terpilih sama ada di sebelah pulau mahupun Seberang Perai,” katanya yang juga Naib Pengerusi PGC pada sidang media di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Unit Pengurusan Sisa Pepejal, Bahagian Kerajaan Tempatan Negeri, Oon Lai Kuan; Pengurus Besar PGC, Thing Siew Shuen dan Pegawai Penyelidik PGC, Salwa Ismail.

Dalam pada itu, menurut Kon Yeow, Kerajaan Negeri juga akan memperhalusi syarat-syarat bagi mewajibkan semua jawatankuasa pengurusan bersama (JMC) dan syarikat pengurusan (MC) menyediakan tong-tong kitar semula di kediaman bertingkat tinggi masingmasing.

“Penguatkuasaan ini pasti akan mengambil sedikit masa, tetapi saya berharap semua JMC dan MC dapat memberi kerjasama untuk mempergiat dan mengukuhkan aktiviti kitar semula serta pengasingan sisa pepejal di punca.

“Saya yakin, dengan adanya peraturan atau undang-undang, maka rakyat akan akur,” ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

Terdahulu, Kon Yeow menghadiri sesi taklimat dan keputusan hasil Kajian Tingkah Laku Terhadap Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca dan Amalan 3R di Pulau Pinang bagi Tahun 2015 di sini.

Sejumlah 1,484 responden mengambil bahagian dalam kajian yang dijalankan pada 29 Julai hingga 29 September lalu.

Hasil kajian mendapati, hanya 70.4 peratus responden mencadangkan pengukuhan polisi dan amalan kitar semula alternatif, manakala 66.3 peratus pula mencadangkan penggunaan teknologi tenaga terkini.