Mesyuarat Kewangan Negara bincang keadaan sebenar hutang Persekutuan dan negeri, respons KM

BUKIT TENGAH – Taklimat mengenai hutang negara yang dikatakan mencecah lebih RM1 trilion merupakan salah satu agenda utama dalam Mesyuarat Kewangan Negara.

Demikian respons Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow ketika diminta mengulas mengenai kehadirannya dalam mesyuarat tersebut, yang dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama-sama Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang.

“Majlis Kewangan Negara lazimnya diadakan satu tahun sekali sahaja, kebetulan mesyuarat ini perlu diadakan kerana sudah genap 12 bulan daripada mesyuarat lepas.

“Tidak ada perkara baru kerana Perdana Menteri sejak mengangkat sumpah (terimaan jawatan) pun sedang menangani isu (hutang negara mencecah lebih RM1 trilion) ini,” jelasnya pada sidang media 8 Jun lalu.

Sebelum itu, Kon Yeow menyampaikan ucapan dalam Advokasi Khas Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Pulau Pinang Sempena Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri di Plaza Tol Juru di sini.

Mengulas lanjut, beliau menyatakan bahawa Majlis Kewangan Negara turut membincangkan mengenai rekod pembayaran serta tunggakan hutang Kerajaan Negeri terhadap Kerajaan Persekutuan.

“Selain itu, semua anggota mesyuarat tersebut turut dimaklumkan mengenai birokrasi pemberian peruntukan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri sebelum ini, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan serta keputusan-keputusan Majlis Kewangan Negara terdahulu.

“Perdana Menteri, setelah melihat laporan itu, menyatakan bahawa beliau mahu mengkaji semula cara yang mana peruntukan ini disalurkan kepada semua negeri.

“Sebab, mungkin formula ini ditetapkan apabila merdeka (1957) dan juga pembentukan Malaysia (1963), sekarang melebihi 50 tahun, beliau (Dr. Mahathir) mahu kaji semula supaya agihan peruntukan Persekutuan kepada negeri-negeri adalah lebih adil,” ujar beliau.