KM harap Program Sara Hidup Rakyat beri impak positif

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap Kementerian Kewangan di bawah Menterinya, Lim Guan Eng dapat memastikan pelaksanaan Bantuan Sara Hidup Rakyat membawa impak positif kepada kebajikan rakyat terutama di Pulau Pinang.

Kon Yeow berkata demikian dalam Majlis Taklimat Bantuan Sara Hidup Rakyat & Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Kepada Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Dewan Rakyat serta Ahli Majlis bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) di sini baru-baru ini.

“Jika sebelum ini program BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) tidak melibatkan Kerajaan Negeri, namun kini terdapat beberapa
aspek perlu dikaji semula, antaranya jaminan kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

“Ini bagi memastikan program (BR1M) yang dijenamakan semula sebagai Bantuan Sara Hidup Rakyat serta program-program negeri tidak berlaku pertindihan.

“Saya juga mengharapkan melalui Bantuan Sara Hidup Rakyat ini dapat meringankan beban seharian ditanggung oleh rakyat, serta
memberi impak yang positif kepada kebajikan rakyat khususnya rakyat di negeri Pulau Pinang,” ujarnya yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Berucap pada majlis sama, Guan Eng berharap Kerajaan Negeri dapat menjelaskan mengenai birokrasi pemberian Bantuan Sara  Hidup Rakyat serta pelbagai lagi sumbangan Persekutuan lain kepada rakyat terutama di Pulau Pinang.

“Sungguhpun Kerajaan Persekutuan sekarang sedang menghadapi krisis ekonomi, hutang Persekutuan pun banyak telah melebihi RM1 trilion…nasib baik kita (Pakatan Harapan) memerintah, kalau tidak nanti akan jadi lebih teruk.

“Saya harap Kerajaan Pulau Pinang boleh terangkan kepada rakyat bahawa kita (Kerajaan Pakatan Harapan Persekutuan) buat  langkah-langkah ini, yang pasti kita mampu pulangkan wang kepada rakyat.

“(Contohnya) apabila kita menghapuskan GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan), kita pulangkan RM21 bilion (hasil GST) kepada rakyat, kita gantikan (GST) dengan SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan), kita dapat balik (hasil cukai) RM4 bilion, dia punya ‘net effect’ RM17 bilion kita beri sama rakyat.

“Apabila kita beri subsidi untuk ‘ikat’ harga petrol tak bagi naik, kita (Kerajaan Persekutuan) belanja RM3 bilion, maka RM20 bilion kita beri sama rakyat.

“Begitu juga dengan BR1M sempena Hari Raya Aidilfitri, iaitu sebanyak RM1.6 bilion, menjadikan keseluruhannya RM22 bilion.

“Sekarang RM22 bilion ini berputar di pasaran, ini kita harap dapat mencerdaskan pembangunan ekonomi,” jelasnya yang juga
Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan merangkap Setiausaha Agung DAP Kebangsaan.