‘Plogging’ pupuk kesedaran terhadap alam sekitar

Admin

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

SEBERANG JAYA – Bersempena Hari Alam Sekitar Sedunia tahun ini, Penang Green Council (PGC) buat julung kalinya menganjurkan aktiviti Plogging Bersama-sama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dekat Taman Tunku di sini barubaru ini.

Program berkenaan turut disokong oleh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan Jabatan Perhutanan Negeri Pulau Pinang. Kon Yeow dalam ucapan perasmian berkata, ‘plogging’ merupakan gabungan dua aktiviti iaitu berjoging sambil mengutip sampah yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap alam sekitar.

“Sebagai makluman, tema Hari Alam Sekitar Sedunia tahun ini adalah ‘Perangi Pencemaran Plastik’ yang sangat bermakna bagi Kerajaan Negeri.

“Sejak 2009, Kerajaan Negeri telah melancarkan kempen ‘Hari Tanpa Beg Plastik Percuma’ di pusat membeli-belah dan pasaraya yang merupakan langkah kecil untuk memupuk kesedaran masyarakat dalam mengurangkan sisa plastik.

“Memandangkan tema yang ditetapkan adalah mengakhiri pencemaran plastik, maka aktiviti plogging dianjurkan bagi memperkenalkan gaya hidup mesra alam yang boleh dijadikan inisiatif baru bagi aktiviti kesukarelawan kepada orang awam,” katanya.

Program turut dimeriahkan dengan kehadiran Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh; Dr. Afif Bahardin (Exco Kesihatan, Pertanian & Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar); Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Berapit, Heng Lee Lee; Gooi Hsiao Leung (ADUN Bukit Tengah); H’ng Mooi Lye (ADUN Jawi). Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ar. Yew Tung Seang; Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud; Setiausaha Perbandaran MPSP, Ir. Rosnani Mahmod dan Pengurus Urusan PGC, Thing Siew Shuen turut hadir.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menjelaskan, Pulau Pinang berhasrat untuk menjadi negeri paling hijau di negara ini yang dipacu oleh ekonomi hijau, urus tadbir inovatif melalui perkongsian 4P iaitu Public, Private, People, dan Professional serta agenda pembangunan mampan.

“Oleh itu, kita (Kerajaan Negeri) menggesa semua pihak termasuk Kerajaan Persekutuan, industri, komuniti dan individu untuk bersama-sama mencari alternatif yang mampan, mengutamakan polisi, tindakan dan penyelesaian demi kemajuan jangka panjang untuk alam sekitar, ekonomi dan masyarakat.

“Marilah kita berganding bahu dan berusaha membawa Pulau Pinang ke peringkat yang lebih tinggi, bukan sahaja dari segi pertumbuhan ekonomi malah menjadi negeri paling hijau di Malaysia,” ujarnya.

Sebagai rekod, Pulau Pinang merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang tidak pernah menebang hutan simpanan kekal walaupun seinci dan telah berjaya menanam lebih daripada 271,000 pokok baru sejak tahun 2008.