MIPHC rai saudara baru

Admin
(Dari kiri), SHAH Kirit Kakulal Govindji, Ir. Dr. Muhamad Fuas Yeoh Abdullah, Muhammad Fitri Abdullah dan Muhammad Rizal Mohamad Amin bersempena penganjuran MIPHC di sini baru-baru ini.
(Dari kiri), SHAH Kirit Kakulal Govindji, Ir. Dr. Muhamad Fuas Yeoh Abdullah,
Muhammad Fitri Abdullah dan Muhammad Rizal Mohamad Amin bersempena
penganjuran MIPHC di sini baru-baru ini.

BAYAN LEPAS“Menariknya Ramadhan tahun ini bagi saya kerana dapat berbuka puasa bersama-sama saudara baru, saudara kita yang terdiri daripada pelbagai keturunan dan budaya berhimpun sebagai sebuah keluarga besar,” ucap Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman pada Majlis Iftar Perdana Hidayah Centre (MIPHC) Pulau Pinang 2012 di sini baru-baru ini.

Tambah beliau, bagi mereka yang dilahirkan sebagai umat Islam, ibadah puasa telah dididik sejak kecil lagi. Tetapi, bagi golongan mualaf terutama mereka yang berpuasa buat kali pertama, ia sudah tentu menjadi suatu cabaran kerana puasa bukan sahaja menahan lapar dan dahaga, tetapi juga memelihara diri kita dari perbuatan mungkar.

“Syabas kepada tuan-tuan dan puanpuan kerana kesungguhan dalam melaksanakan ibadah puasa kali ini.

“Mudah-mudahan Madrasah Ramadhan kali ini akan membawa natijah yang lebih bermakna kepada kita semua, insyaAllah,” ujar Mansor yang turut berterima kasih kepada Hidayah Centre Pulau Pinang (HCPP) kerana menjemput beliau untuk berbuka puasa bersama mualaf di sini baru-baru ini.

Bersempena itu, beliau turut berkongsi pengalamannya ketika menjalani ibadah puasa pada zaman kanak-kanak dan bersama golongan mualaf.

Bertemakan ‘Journey to Jannah’, MIPHC kali ini dimeriahkan dengan forum sebelum waktu berbuka. Antara ahli panel yang hadir ialah Ketua Pegawai Dakwah Islamic Information and Services Foundation (IIS), Shah Kirit Kakulal Govindji; Pengarah Unit Dakwah, Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia, Muhammad Fitri Abdullah dan Timbalan Presiden Malaysian Chinese Muslim Association (MACMA), Ir. Dr. Muhamad Fuas Yeoh Abdullah. Manakala Muhammad Rizal Mohamad Amin sebagai moderator forum.

Selain iftar, solat Maghrib, Isyak dan terawih secara berjemaah turut diadakan. Sumbangan daripada HCPP kepada para saudara baru yang hadir telah disempurnakan oleh Ahli Majlis Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Mohd. Rashid Hasnon. MIPHC diakhiri dengan tazkirah dan moreh.

Sehubungan itu, Pengerusi Hidayah Centre Pusat  Nicholas Slyvester @ Haji Muhammad Abdullah berkata, MIPHC tahun ini adalah kali yang ke-3 diadakan di Pulau Pinang, ia bertujuan menzahirkan sokongan berterusan kepada saudara baru dan tanda perjuangan yang tidak pernah padam untuk menyebarluaskan Islam di bumi Allah ini.

“MIPHC merupakan acara tahunan dalam bulan Ramadhan yang bukan sahaja bertujuan untuk menjana dana dalam meneruskan operasi dan kelestarian HCPP, tetapi juga untuk meraikan saudara baru kita.

“Seperti sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud, ‘Barang siapa yang melepaskan kesukaran seorang Muslim, Allah S.W.T akan melepaskan satu kesusahannya di hari akhirah’, riwayat Muslim,” tambahnya.