Sumbangan Aidilfitri kepada 30 golongan tidak bernasib baik

Admin
(Dari kiri), ZAWAWI Mat Ali, Husaini Bakar dan Shamsuzirani Mat Ripin bersama sumbangan Bantuan Aidilfitri 1433H/2012 masing-masing di sini baru-baru ini.
(Dari kiri), ZAWAWI Mat Ali, Husaini Bakar dan Shamsuzirani Mat Ripin bersama
sumbangan Bantuan Aidilfitri 1433H/2012 masing-masing di sini baru-baru ini.

GEORGE TOWN – “Alhamdulillah, Kerajaan Negeri la ni (sekarang) sangat prihatin terhadap kami golongan orang kurang upaya (OKU) yang sememangnya agak terbatas dalam segala segi,” ujar Husaini Bakar, 42, salah seorang penerima Sumbangan Bantuan Aidilfitri 1433H/2012 inisiatif Kerajaan Negeri di sini baru-baru ini.

Husaini berkata, sejak dua tahun lalu (ketika pemerintahan Kerajaan Pakatan Rakyat), beliau dan rakan-rakan yang lain mula menerima bantuan Aidilfitri.

“Harap tahun depan ada lagi bantuan seumpama ini memandangkan kami sukar untuk bergerak ke sana sini nak (hendak) beli barang keperluan.

“Jadi, memang ini lah yang kami harapkan,” ujar Husaini yang hilang upaya untuk melihat sejak kecil ketika ditemui Buletin Mutiara sejurus selepas majlis penyampaian bantuan di sini.

Setiap tahun, Pusat Urus Zakat (PUZ) menyenaraikan nama-nama golongan OKU, fakir miskin dan ibu tunggal yang tercicir dari senarai penerima bantuan Ramadhan. Setiap penerima menerima sumbangan beras, minyak masak, kurma, bihun dan lain-lain bahan asas masakan.

Sumbangan dari PUZ tersebut telah disempurnakan oleh Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim di pejabat beliau di sini.

Tambah Husaini, sumbangan diberikan ini amat berharga dan sedikit sebanyak telah meringankan bebanan kos hidup yang semakin meningkat.

“Kami (golongan OKU) walaupun mempunyai pekerjaan, tapi agak terbatas dan pemberian ini sangat membantu,” ujar Husaini.

Husaini bersama dua rakan lain Shamsuzirani Mat Ripin, 27, dan Zawawi Mat Ali, 40, yang juga merupakan OKU cacat penglihatan adalah antara 30 penerima Sumbangan Bantuan Adidilfitri 1433H/2012 baru-baru ini.