Misteri akhbar ‘Debat Perdana’ pro pembangkang gamit tanda tanya?

Admin

GEORGE TOWN – Akhbar “Debat Rakyat” yang disebarkan di pekarangan Komtar menempatkan pejabat  pentadbiran Kerajaan Negeri baru-baru ini menggamit pelbagai tanda tanya.

Sama ada akhbar itu didalangi oleh pembangkang Kerajaan Negeri Pulau Pinang atau pihak lain, pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) negeri mempunyai jawapannya.

Namun, dari artikel berita yang dimuatkan dalam akhbar misteri tersebut, rata-ratanya berkisar pada memburuk-burukkan imej Kerajaan Negeri serta pemimpin utama Pakatan Rakyat.

Isu dalaman PAS, peribadi Penasihat PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Presiden PAS) serta fitnah kes “Liwat II” yang dikaitkan dengan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim antara berita utama dalam akhbar tersebut.

Rekod Kerajaan Negeri Pulau Pinang membina kira-kira 11,596 unit rumah mampu milik sejak Mac 2008 turut ditohmah sebagai rekod bohong Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng.

Lebih menarik, akhbar misteri tersebut memuji kepemimpinan UMNO khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta membuat liputan khusus di Perhimpunan Agung UMNO Ke-62 lepas.

Difahamkan, setakat ini, akhbar tanpa permit ini masih belum menerima sebarang laporan polis untuk siasatan lanjut.

Dijangka, penyebaran akhbar berunsur hasutan dan fitnah oleh pihak tertentu akan diteruskan demi memujuk rakyat khususnya pengundi Melayu supaya menolak rekod perubahan yang dibawa oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang sejak empat tahun lepas.