MP cadang penempatan semula ala Petaling Street mini di Sungai Ara

BAYAN BARU – Penempatan semula pasar pagi di Tingkat Sungai Ara 1 disifatkan sebagai projek serampang dua mata susulan perancangan untuk membangunkan kawasan itu sebagai Petaling Street mini sedang dilaksanakan.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata penempatan semula pasar pagi di kawasan itu dilihat berupaya memacu sektor pelancongan negeri selain dapat membuka  peluang perniagaan kepada anak-anak muda.

“Projek ini dijangka menelan belanja sebanyak RM2 juta melibatkan tiga fasa termasuk menaik taraf tebing serta membina semula sebuah jambatan baharu.

“Kalau diikutkan seramai 300 orang peniaga berniaga di sini sejak 20 tahun lalu dalam keadaan tidak teratur dengan kepadatan penduduk melebihi 100,000 orang.

“Kita sasarkan ia mampu menjadi ala Petaling Street mini kerana Sungai Ara terletak di lokasi yang strategik yang bukan sahaja menjadi tumpuan kdalam alangan penduduk setempat, malah juga dari luar daerah,” ujar beliau dalam lawatan ke tapak penempatan semula dekat Tingkat Sungai Ara 1 pada 1 Oktober lepas.

Terdahulu, Tze Tzin turut menganggarkan kos bagi menaik taraf serta membina jambatan baru itu bernilai RM300,000 dan akan menggunakan peruntukan beliau selaku Ahli Parlimen.

“Benteng sungai di kawasan ini juga dilihat semakin terhakis jadi untuk menghalang hakisan berlaku dan mampu mengancam keselamatan penduduk, jadi kita akan bangunkan semula jambatan yang lebih ikonik.

“Pembinaan jambatan ini diharap dapat dimulakan segera sebagai salah satu fasa penempatan semula di samping menghidupkan semula sektor pelancongan negeri,” jelasnya lagi.

Mengulas lanjut, Tze Tzin memberitahu bahawa idea penempatan semula itu tercetus selepas menyedari bahawa terdapat ramai dalam kalangan anak muda mula hilang punca pendapatan akibat pandemik COVID-19.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD