MP Permatang Pauh rai anak-anak yatim sempena Aidilfitri

Oleh: AHMAD ADIL MUHAMAD

PERMATANG PAUH – Hampir 200 anak-anak yatim dan kurang upaya membabitkan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Permatang Pauh diraikan bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di sini baru-baru ini.

Ahli Parlimennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail mengadakan sesi jelajah tersebut pada hari raya ke-tiga bagi menggantikan program rumah terbuka yang dibatalkan ekoran tragedi yang menimpa pesawat Penerbangan Malaysia (MAS), penerbangan MH17 pada 17 Julai lalu.

Anak-anak yatim yang diraikan tersebut merupakan golongan yang tidak menetap di pusat perlindungan atau rumah anak-anak yatim, sebaliknya dikenalpasti sendiri pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) setiap DUN berkaitan.

Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin, ADUN Penanti, Dr. Norlela Ariffin, Setiausaha Perbandaran bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Sr. Rozali Mohamud dan Ahli Majlis bagi MPSP, Abdul Jalil Che Ros.

Menurut Afif, program berkenaan dijalankan ekoran pembatalan majlis rumah terbuka yang dirancang sebelum ini.

“Majlis yang diadakan turut diisikan dengan majlis tahlil dan doa selamat bagi mengingati mangsa-mangsa MH17 yang terkorban.

“Pada majlis berkenaan, anak-anak yatim dan kurang upaya diceriakan dengan pemberian sumbangan dan duit raya oleh Datuk Seri (Anwar) dan isteri melalui peruntukan beliau selaku Ahli Parlimen,’’ jelasnya kepada Buletin Mutiara pada Majlis Tahlil dan Sumbangan Duit Raya Kepada Anak-anak Yatim Parlimen Permatang Pauh di sini baru-baru ini.