Putuskan hubungan dagang Israel demi Palestin – Exco

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Putrajaya didesak memutuskan hubungan perdagangan dengan Zionis Israel, jika benar minyak sawit negara ada dieksport ke pelabuhan Ashod dan pelabuhan Haifa negara tersebut.

Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim berkata, usaha memboikot produk berkaitan Israel wajar secara holistik membabitkan pengguna dan kerajaan sendiri.

“Kita menuntut semua pemimpin negara umat Islam yang ada hubungan perdagangan dengan Israel supaya putuskan hubungan serta merta, (kerana) hubungan perdagangan ini (seakan) iktiraf negara haram itu,” tegasnya dalam satu demontrasi aman di perkarangan Masjid Kapitan Keling di sini baru-baru ini.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin pula meminta rakyat mengguna kuasa pengguna untuk memboikot produk berkaitan negara tersebut, demi memerdekakan warga Palestin di bumi bergolak Gaza.

“Kalau perlu menjadi seperti burung-burung pipit yang membawa air menggunakan paruhnya yang kecil untuk memadamkan api besar yang membakar Nabi Ibrahim pun, kita perlu lakukan seperti burung-burung pipit untuk memerdekakan wilayah Palestin,” jelasnya dalam himpunan aman anjuran pemuda Pulau Pinang tersebut.

Pengerusi Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) Pulau Pinang, Dr. Toh Kim Woon dalam kenyataannya menganggap bahawa pencerobohan Zionis Israel di bumi Gaza adalah suatu imperialisme, yang nyata mencabul hak asasi manusia di wilayah bergolak itu.

Justeru, Kim Woon yang juga Pengerusi Bersama bagi Gabungan Pilihan Raya Adil & Bersih (Bersih) menjelaskan bahawa isu Palestin wajar disokong semua rakyat tanpa mengira agama dan kaum.

“Saya bukan Islam dan bersama-sama kawan-kawan saya yang bukan Islam datang ke sini untuk menunjukkan kebangkangan kita terhadap imperialisme Zionis-Israel.

“Bagi kita, isu sebenar adalah tanah mereka dijajah oleh rejim Zionis-Israel. Dahulu, rakyat asal (terdiri oleh) umat Islam dan Yahudi bersama-sama tinggal di bumi Palestin.

“Tetapi, imperialisme Britain telah mengusir rakyat asal di bumi merdeka Palestin serta merampas tanah mereka. Sekarang, rakyat asal Palestin hanya tinggal di tanah sekecil Gaza pun mahu dirampas oleh rejim Zionis-Israel,” ujar pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tersebut.

Pengerusi Liga Muslim Pulau Pinang, Najmudeen Kadir dan wakil Jawatankuasa Masjid Kapitan Keling turut berucap pada himpunan aman tersebut.