MPPP digesa pantau perniagaan warga asing

Admin

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN– Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) digesa supaya memantau aktiviti perniagaan kelolaan warga asing yang dilihat semakin bertambah seperti ‘cendawan tumbuh selepas hujan’ di sini.

Gesaan tersebut disuarakan Ahli Majlis MPPP, A. Kumaresan ketika ucapan penangguhan Mesyuarat Biasa Majlis di Dewan Bandaran, Padang Kota Lama di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, MPPP dengan kerjasama agensi-agensi awam seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia perlu melakukan pemantauan berskala ekoran kebimbangan bahawa lambakan perniagaan berkenaan bakal menjejaskan peluang perniagaan buat rakyat tempatan.

“Saya tidak membantah kewujudan mereka (peniaga asing) untuk berniaga di sini (Pulau Pinang), namun, apa yang mencuriga dan dikhuatirkan ialah sekiranya mereka mengambil kesempatan berniaga tanpa melalui prosedur yang betul.

“MPPP selaku pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu memastikan golongan peniaga warga asing ini mempunyai lesen perniagaan yang sah.

“Malah, MPPP juga perlu mengawal proses pemberian lesen kepada mereka agar peniaga-peniaga tempatan tidak terjejas dengan lambakan golongan tersebut,” tegas beliau.

Menurut Kumaresan, antara kawasan tumpuan utama perniagaan dijalankan adalah di sekitar Jalan Gurdwara, Komtar dan Jalan Rumbia, Bukit Jambul.

Tambahnya, tempat perniagaan warga asing tersebut turut dijadikan tempat berkumpul atau ‘port’ perjumpaan beramai- ramai.

“Kegiatan ini bukan sahaja boleh mengundang bahaya kepada masyarakat awam umumnya, tetapi, mengundang rasa kurang selesa kepada pihak lain,” kata beliau.