Green Road Sharing Concept ke arah negeri berbasikal

Admin

GEORGE TOWN – Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) pada Mesyuarat Biasa Majlis yang berlangsung baru- baru ini telah meluluskan cadangan menyediakan rangkaian laluan basikal Green Road Sharing Concept di Tapak Warisan Dunia George Town di sini baru-baru ini.

Perkara tersebut dinyatakan Ahli Majlisnya merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Lalulintas MPPP, Mohd. Sabri Osman ketika membentangkan pengesahan minit keputusan jawatankuasa majlis baru-baru ini.

Menurut beliau, projek tersebut bakal menyediakan laluan basikal yang lebih selamat dan lengkap kepada penunggang basikal di kawasan Tapak Warisan Dunia George Town kelak.

“Dua jenis laluan akan digunapakai di tapak cadangan iaitu laluan basikal di atas jalan dengan lorong berasingan dan laluan basikal di atas jalan tanpa lorong berasingan.

“Bagi jalanraya yang mempunyai kelebaran lebih daripada (kelebaran) minimum, laluan basikal dengan lorong berasingan akan diwujudkan.

“Laluan ini akan diwarnakan dengan warna hijau dan ditandakan dengan logo-logo di atasnya dengan kelebaran anggaran empat hingga lima kaki.

“Manakala, bagi jalanraya yang tidak mempunyai kelebaran lebih, logo-logo hanya akan ditandakan di atas jalanraya sedia ada,”
jelasnya selepas tamat Mesyuarat Biasa Majlis di sini baru-baru ini.

Menurut Mohd. Sabri, bagi membantu meningkatkan kesedaran kenderaan bermotor, road reflector/raised pavement markers akan dipasang di sepanjang laluan basikal yang mana pemandu kenderaan bermotor perlu peka bahawa laluan hijau hanya dikhaskan kepada penunggang basikal sahaja.

Tambahnya, inisiatif tersebut akan membantu Pulau Pinang untuk selangkah ke hadapan merealisasikan hasratnya menjadi negeri berbasikal di Malaysia kerana ianya telah terbukti berjaya diterima pakai di negara seperti Australia, New York, Taiwan dan Amerika Syarikat.

“Lorong basikal ini menunjukkan pengiktirafan Kerajaan Negeri kepada penunggang basikal di negeri ini yang mana golongan tersebut turut diberikan keutamaan dan aspek perancangan bandar,” ujar beliau.