MPPP gesa Perkasa dikena denda setimpal

Admin

GEORGE TOWNMajlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) menggesa agar Bahagian Alam Sekitar (DEO) mengambil tindakan tegas terhadap pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Pulau Pinang yang didakwa telah melakukan pencemaran terbuka ekoran tindakan membakar beberapa helai baju perhimpunan Bersih 3.0 pada satu demonstrasi di sini baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Gantian Tetap Kesihatan Awam MPPP, Ong Ah Teong berkata, melalui Akta 29 (a) Bahagian Alam Sekitar (DEO), pihak terbabit berhak mengeluarkan hukuman denda iaitu sebanyak RM500,000 atau sekurangkurangnya dua tahun penjara gara-gara tindakan berkenaan.

“Denda yang lebih berat iaitu sebanyak RM500,000 hanya boleh dikeluarkan oleh DEO kerana kesalahan melakukan pembakaran di tempat terbuka. Ini bukan sahaja merupakan pencemaran, tetapi soal keselamatan orang ramai, terutama anak-anak muda, warga emas dan pelancong yang sentiasa berada di perkarangan Komtar.

“Manakala, kita (MPPP) hanya berhak mengeluarkan saman sebanyak RM1,000 bagi kesalahan mencemarkan empat jalan iaitu Jalan Pinhorn, Jalan Sungai, Jalan Datuk Keramat dan Jalan Ria,” ujarnya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, pada sidang media sama, Ahli Majlis Mohd. Rashid Hasnon berkata, Perkasa menunjukkan etika dan moral yang rendah apabila bersikap demikian di khalayak ramai.

“Perkasa menunjukkan contoh dan teladan yang tidak baik kepada anak muda masa kini. Sepatutnya, jika mempunyai sebarang masalah perlulah menggunakan saluran yang betul,” ujar Mohd. Rashid.

Hadir sama, Ahli Majlis MPPP, Ramlah Bee Asiahoo, Harvinder Singh, Felix Ooi, Mohamed Yusoff Mohamed Noor dan Lim Siew Kim.

ONG Ah Teong (empat dari kiri) menyerahkan gambar dan bukti pembakaran terbuka Perkasa Pulau Pinang kepada Pegawai Peguatkuasa MPPP, Abdul Koder Jusoh (dua dari kanan) untuk tindakan lanjut di sini baru-baru ini.
ONG Ah Teong (empat dari kiri) menyerahkan gambar dan bukti
pembakaran terbuka Perkasa Pulau Pinang kepada Pegawai
Peguatkuasa MPPP, Abdul Koder Jusoh (dua dari kanan) untuk
tindakan lanjut di sini baru-baru ini.