Program Pemeriksaan Kesihatan percuma dianjur kali ke-2

Admin
STEVEN (tiga dari kiri), Chong Eng (tiga dari kanan) dan Jawatankuasa Penduduk Taman Sri Kijang menunjukkan banting Program Pemeriksaan Kesihatan yang dianjurkan di sini baru-baru ini.
STEVEN (tiga dari kiri), Chong Eng (tiga dari kanan) dan
Jawatankuasa Penduduk Taman Sri Kijang menunjukkan
banting Program Pemeriksaan Kesihatan yang dianjurkan
di sini baru-baru ini.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

BUKIT MERTAJAMSebagai inisiatif untuk terus memberi kesedaran kepada masyarakat tentang perlunya pemeriksaan kesihatan secara berkala, Program Pemeriksaan Kesihatan anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK), Taman Sri Kijang dengan kerjasama Persatuan Perkembangan Kesihatan Keluarga Pulau Pinang (FHDA) diadakan buat dua tahun berturut-turut.

Pengerusi JKKK Taman Sri Kijang, Tan Ken Chai berkata, program tersebut memberi impak sangat besar apabila terdapat segelintir masyarakat yang tidak tahu betapa pentingnya pemeriksaan kesihatan secara berkala.

Malah, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Chong Eng turut menekankan bahawa penyakit-penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi serta kencing manis boleh dikawal andainya pemeriksaan awal dijalankan dan penyakit tersebut dapat dikesan.

“Justeru, saya sarankan agar masyarakat didedahkan berhubung kepentingan menjalankan pemeriksaan kesihatan secara berkala dari semasa ke semasa,’’ katanya pada ucaptama Program Pemeriksaan Kesihatan yang diadakan di Dewan Rukun Tetangga Taman Sri Kijang di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Ahli Majlis Seberang Perai Selatan (MPSP), Steven Sim Chee Keong menyatakan bahawa program komuniti tersebut bukan sahaja untuk memberi pemeriksaan kesihatan secara percuma, malah, kefahaman kepada masyarakat tentang betapa pentingnya penjagaan kesihatan.

“Program Pemeriksaan Kesihatan yang dianjurkan kini adalah kesinambungan program siri khidmat masyarakat yang pernah diadakan oleh beliau tahun lalu.

“Kali ini, pelbagai aktiviti kesihatan termasuk pemeriksaan tahap glukosa, tekanan darah, taklimat pemeriksaan kendiri payudara dan pemeriksaan Hepititis B diadakan. Malah, pengamal perubatan yang turut serta dalam program ini turut memberi taklimat ringkas tentang penjagaan kesihatan,” jelasnya.