Projek villa, banglo dilulus sebelum PR

Admin
AR. Patahiyah Ismail (tengah) bersama Pengarah Bangunan MPPP, Ar. Yew Tung Seang (kanan) dan Penolong Pengarah Penguatkuasa MPPP, Azman Sirun (kiri) pada satu sidang akhbar mengumumkan Majlis Pelancaran Astaka Bukit Bendera di sini baru-baru ini.
AR. Patahiyah Ismail (tengah) bersama Pengarah Bangunan MPPP, Ar. Yew
Tung Seang (kanan) dan Penolong Pengarah Penguatkuasa MPPP, Azman
Sirun (kiri) pada satu sidang akhbar mengumumkan Majlis Pelancaran
Astaka Bukit Bendera di sini baru-baru ini.

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

TANJONG BUNGA – Keresahan penduduk Mount Pleasure di sini yang membantah projek pembinaan 21 unit villa empat tingkat dan 80 unit banglo di lereng bukit dan keadaan Jalan Low Yat yang tidak diselenggara selama sepuluh tahun terjawab apabila Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) melalui kenyataan akhbarnya menyatakan bahawa jalan tersebut merupakan jalan persendirian.

Melalui semakan pihak MPPP, Jalan Perkhidmatan (Services Road) seperti yang dipaparkan pada akhbar sebelum ini merupakan jalan persendirian yang mana ianya diselenggara dan diuruskan oleh pihak pemaju yang bertanggungjawab iaitu Tetuan Low Yatt.

YDP MPPP, Ar. Patahiyah Ismail berkata, sebelum ini, pihak majlis telah memaklumkan kepada pemaju agar membaikpulih jalan tersebut dengan segera.

“Pihak majlis telah memaklumkan isu tersebut kepada pihak pemaju agar mengambil tindakan segera bagi memastikan Jalan Perkhidmatan berkenaan dibaikpulih mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

“Hasilnya, kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan jalan berkenaan telah bermula pada 31 Mei 2012 yang lepas,’’ katanya di sini barubaru ini.

Dalam pada itu, beliau menambah bahawa cadangan pembangunan projek mewah di lereng bukit tersebut telah diluluskan kebenaran merancang sejak 21 Jun 2006.

“Kebenaran merancang telah dikeluarkan pada 2006 kepada pemaju Island Bay Resort. Walaupun begitu, pihak pemaju tidak menjalankan kerja-kerja pembinaan di tapak dan kebenaran merancang berkenaan diperbaharui pihak pemaju pada setiap tahun.

“Bagaimanapun, permohonan perlanjutan kebenaran merancang kelima yang merupakan perlanjutan terakhir akan luput pada 20 Jun 2012 yang akan datang,” ujarnya.