MPPP & MPSP terima Anugerah Khas IOPD

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) menerima Anugerah Khas daripada International Observatory for Participatory Democracy (IOPD) berikutan penglibatan aktif dalam memperkasakan kesaksamaan gender dan keadilan sosial melalui program Gender Responsive and Participatory Budgeting (GRPB) di Canoas City, Brazil sempena 14th IOPD Conference baru-baru ini.

Menurut Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas & Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, penyenaraian kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut sebagai penerima anugerah berkenaan merupakan saat paling membanggakan, bukan sahaja bagi Pulau Pinang, malah secara amnya buat Malaysia.

“Sungguhpun kita (Pulau Pinang) tidak memenangi Anugerah Utama Kepujian, Best Practice Citizens Participation, yang dimenangi
negara China, kita (Pulau Pinang) adalah antara tiga negara lain iaitu Mexico dan Peru menerima Anugerah Khas ini,” katanya dalam sidang media di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Dr. Norlela Ariffin, Yang di- Pertua MPPP, Datuk Patahiyah Ismail, Yang di-Pertua MPSP, Maimunah Mohd. Shariff, Setiausaha Perbandaran MPPP, Ir. Ang Aing Thye dan Pengarah GRPB Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Aloyah Bakar.

Ditubuhkan pada November 2001 di Barcelona, Sepanyol, IOPD adalah sebuah badan komuniti antarabangsa dianggotai pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan dan kumpulan penyelidik yang mempunyai iltizam dalam perkongsian idea berkaitan pelaksanaan demokrasi di peringkat kerajaan tempatan.

Dalam pada itu, Patahiyah berkata, ia merupakan penyertaan sulung Pulau Pinang di bawah kelolaan bersama PWDC dan merupakan peserta ‘termuda’ dalam pengimplementasian GRPB, iaitu dua setengah tahun.

“Kini Pulau Pinang adalah antara 550 ahli IOPD daripada keseluruhan 71 negara di serata dunia,’’ jelas beliau.