RFP Sandiland Foreshore, pemaju dipelawa

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Dalam usaha menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat Pulau Pinang, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) mempelawa pemaju berkelayakan supaya membida Request For Proposal (RFP) Projek Perumahan Mampu Milik Sandilands Foreshore bermula 22 Julai hingga 3 September ini.

Projek pembangunan bercampur tersebut bakal menyediakan 482 unit rumah pangsa kos sederhana, 321 rumah pangsa kos sederhana rendah dan kemudahan komersial yang akan dibangunkan di atas sebidang tanah di Jalan C.Y. Choy berkeluasan 4.23 ekar.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika mengumumkan perkara tersebut berkata, PDC telah dilantik bagi membangun atau menguruskan pembangunan tanah tersebut.

“Projek ini adalah dimiliki Perbadanan Ketua Menteri (CMI), tetapi mereka bukanlah pemaju. Jadi, PDC telah dilantik dan bertindak bagi pihak CMI menguruskan pembangunan projek ini.

“Jesteru itu, PDC kini dalam proses menunggu RFP daripada pemaju-pemaju bagi menjalankan rekabentuk, membina dan menyiapkan keseluruhan pembangunan di atas tanah tersebut mengikut syarat-syarat tender,” katanya pada sidang media baru-baru ini di sini.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, Ahli Parlimen Tanjung, Ng Wei Aik dan Pengurus Besar PDC, Datuk Rosli Jaafar.

Dalam pada itu, menurut Guan Eng, projek pembangunan tersebut adalah inisiatif Kerajaan Negeri hasil maklum balas penduduk setempat.

“Pembangunan semula kawasan tersebut bakal melenyapkan masalah yang membelenggu penduduk setempat seperti banjir.

“Penduduk asal pasti akan menerima gantian rumah. Malah, ini adalah peluang buat rakyat Pulau Pinang untuk turut memiliki rumah mampu milik,” ujar beliau.

Pada sidang media sama, Guan Eng selaku Pengerusi Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang turut mengumum dan memperkenalkan 10 Ahli Lembaga Muzium yang baru.