MPPP peka – papan iklan haram dirobohkan

PAPAN iklan gergasi haram di persimpangan Crystal Point dirobohkan oleh pasukan Bahagian Penguatkuasa MPPP dengan bantuan sebuah kren di sini baru-baru ini.
PAPAN iklan gergasi haram di persimpangan Crystal Point dirobohkan oleh pasukan Bahagian Penguatkuasa MPPP dengan bantuan sebuah kren di sini baru-baru ini.

GEORGE TOWN – Kira-Kira 100 daripada 300 iklan gergasi di negeri ini yang dibina secara haram telah dikenalpasti oleh Bahagian Penguatkuasa Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) untuk diambil tindakan.

Pemilik papan iklan cuba mengelirukan dengan memapar iklan Kerajaan Negeri ‘Cleaner, Greaner Penang’. Bagimanapun, ianya hanyalah semata-mata untuk menutup kesalahan tiada lesen dan mengaburi mata Bahagian Penguatkuasa.

Pengerusi Jawatankuasa Gantian Tetap Kesihatan Awam, Ong Ah Teong berkata, kesemua papan iklan gergasi itu akan dirobohkan kerana gagal mendapat kelulusan daripada Jabatan Pelesenan dan Pejabat Daerah dan Tanah Negeri.

“Bagaimanapun, sembilan papan iklan telah dikenalpasti setakat ini untuk dirobohkan termasuk di Jalan Sungai Pinang, Jalan Tanjung Tokong, Jalan Gottlieb, Jalan Bagan Jermal, Jalan Tun Dr. Awang, Jalan Sungai Nibong, Crystal Point, Bayan Baru dan Persiaran Gurney.

Menurutnya, tindakan perobohan dilakukan pada waktu malam bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas berikutan faktor tiang papan iklan yang bersaiz besar dan memerlukan bantuan kren.

“Kesemuanya dijangka habis dirobohkan sebelum hujung Disember. Kompaun RM250 akan dikenakan bagi setiap papan iklan haram yang dipasang. Walaupun jumlahnya kecil, namun, jumlah kerugian yang ditanggung adalah lebih besar iaitu anggaran di antara RM50,000 hingga RM100,000 bagi menurunkan sesebuah papan iklan,” ujarnya.

Tambahnya, operasi dari masa ke masa akan tetap dijalankan memandangkan kebanyakkan sepanduk, banting dan iklan gergasi yang dipasang tidak mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan dan akan mengundang risiko kepada orang awam.