Diskaun 50% lesen penjaja tahun depan

GEORGE TOWN – Kira-kira 300 penjaja diraikan sempena Majlis Sambutan Hari Penjaja 2011 peringkat Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) sebagai menghargai peranan mereka membantu Kerajaan Negeri Pulau Pinang menjayakan program Pulau Pinang Bersih Hijau (Cleaner Greener).

Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng ketika berucap mengumumkan pemotongan 50 peratus lesen penjaja tahun depan kepada mereka yang terpilih.

“Kini, tiada lagi banjir kilat, parit bersih kerana kita seluruh rakyat khususnya penjaja sendiri menjaga kebersihan di premis masing-masing. Pengunjung termasuk pelancong tentu bertambah datang ke negeri ini
kerana kedai makan kita diyakini bersih.

“Dulu, mana ada potongan diskaun? Ekoran ada saling bekerjasama antara penjaja dan Kerajaan Negeri melalui MPPP, Pulau Pinang sudah kelihatan bersih dan hijau. Kita (Kerajaan Negeri) akan potong (diskaun) 50 peratus lesen penjaja tahun depan,” ujarnya pada Majlis Sambutan Hari Penjaja 2011 di Dewan Bandaran MPPP di sini
baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada MPPP kerana konsisten meraikan Hari Penjaja yang jatuh pada 18 November saban tahun.

“MPPP merupakan satusatunya majlis di negara ini yang masih meraikan Hari Penjaja setiap tahun sejak 1996 dan tahun ini merupakan kali ke-16 kita meraikannya.

“Amalan ini bermakna Kerajaan Negeri memang mengiktiraf masyarakat penjaja sebagai satu golongan masyarakat yang penting dalam pembangunan sosio ekonomi negeri,” ujarnya.

Ucapan Yang diPertua MPPP, Ar. Hajjah Patahiyah Ismail turut dibaca oleh Setiausaha Majlis, Ir. Ang Aing Thye dalam majlis berkenaan. Turut berucap adalah Pengerusi Gabungan Persatuan Penjaja-Penjaja dan Perniagaan
Kecil Pulau Pinang dan Seberang Perai, Lam Tong Ying.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalu Lintas Negeri, Chow Kon Yeow, Ng Wai Aik (Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap ADUN Komtar), Ong Ah Teong (Pengerusi Gantian Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam MPPP), Tay Leong Seng (Pengerusi Jawatankuasa Kecil Sambutan Hari Penjaja 2011) serta Ahli-ahli Majlis MPPP lain.

Majlis ters ebut turut menyaksikan acara penyampaian hadiah bagi pertandingan gerai terbersih 2011. Ketegori gerai terbersih dimenangi oleh pemilik gerai mee hakka bernombor M9, Kompleks Tanjong Bungah, Oh Jit Cheng; pemilik gerai makanan barat terbaik dimenangi oleh gerai bernombor 109, Kompleks Bayan Baru, Ang Poh Huat dan pemilik gerai roti bakar terbaik gerai bernombor 18, Kompleks Lorong Kulit, Norhafiza Syed Mohamad.

Kategori Kedai Kopi terbersih pula dijuarai oleh pemilik kedai makan dan minum bernombor 1-F, Lebuh King, Sin Hoe Peng manakala Pelita Nasi Kandar menjuarai ketegori kedai Nasi Kandar terbersih.