MPSP aktifkan semula AKRAB dalam merealisasikan visi & misi MPSP

SEBERANG JAYA – Yang diPertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud mengumumkan untuk mengaktifkan semula Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam atau lebih dikenali sebagai AKRAB dalam merealisasikan visi pihak berkuasa tempatan itu ke arah bandar rendah karbon dan pintar.

Menurut Rozali, ciri-ciri yang diterapkan dalam AKRAB iaitu Amanah, Komitmen, Rasional, Akhlak dan Bestari sejak penubuhannya pada 2016 itu, dilihat amat penting dalam membimbing kakitangan berikutan beberapa perubahan dilakukan bagi menjayakan misi dan visi MPSP.

Kita akan aktifkan semula AKRAB kerana kita sedia maklum apabila kita berhasrat menjayakan misi dan visi, beberapa perubahan akan berlaku dan mungkin ada dalam kalangan staf yang berasa sedikit tekanan (dengan perubahan) jadi mereka boleh berjumpa dengan Rakan Pembimbing  AKRAB.

Tambahan pula, selaras dengan bajet kita (MPSP) baru-baru ini, bertemakan people centric (strategik berfokuskan masyarakat), kita aktifkan semula AKRAB dalam membantu staf-staf MPSP menyelesaikan sebarang permasalahan.

“(Dan) sekiranya AKRAB tidak mampu selesaikan barulah kita bawa untuk perhatian pihak pengurusan atasan,” ujar beliau dalam satu sidang media sejurus tamat Perhimpunan Korporat MPSP Bilangan 3/2018 di Ibu Pejabat MPSP dekat sini pagi tadi.

Hadir sama, Setiausaha Perbandaran bagi MPSP, Ir. Rosnani Mahmod, Ahli-ahli Majlis MPSP dan Ketua-ketua Jabatan MPSP.

Dalam pada itu, jelas Rozali lagi, pendekatan menggunakan AKRAB dilihat lebih berkesan kerana ianya lebih bersikap mesra, persahabatan dan mudah.

Jika pendekatan ini digunakan ia lebih mudah, misalnya kalau duduk di kafe sekalipun mereka ini boleh membincangkan dan mencari penyelesaian kepada permasalahan yang dihadapi,” katanya lagi.

Pada perhimpunan tersebut, Rozali turut menyampaikan beberapa anugerah cemerlang yang diterima MPSP sejak pertengahan tahun 2018 sehingga November 2018.

Antara anugerah diterima adalah; ‘Diamond Recognition‘ bagi ‘Low Carbon City Framework‘ (LCCF) daripada Malaysia Greentech Corporation, pengesahan dari Malaysia Book of Records (MBR) atas pencapaian ‘Largest Golden Penda Tree Planting Events (5,110 batang pokok), mendapat pengesahan MBR atas pencapaian ‘First Organization To Develop Upcycle Park‘ dan Johan Anugerah Inovasi Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi aplikasi MyMPSP.

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar: AHMAD ADIL MUHAMAD