TANJONG BUNGAH – Masjid Terapung Tanjong Bungah secara rasminya dijenamakan sebagai Masjid Syed Sheikh Al-Hadi, sekali gus diisytiharkan sebagai Masjid Pelancongan Negeri Pulau Pinangdalam usaha memperkukuh peranannya sebagai pusat ibadah, dakwah, pendidikan serta pelancongan Islam.

Lafaz pengisytiharan disempurnakan oleh Yang DiPertua Negeri (TYT), Tun Ramli Ngah Talib di sini tengah hari tadi
Menurut Timbalan Ketua Menteri I, Dr. Mohamad Abdul Hamid, penjenamaan semula itu bukan sekadar menukar nama sebuah masjid, malah merupakan penghargaan terhadap legasi tokoh reformis Islam, Syed Sheikh Ahmad Al-Hadi yang banyak menyumbang kepada perkembangan ilmu, pendidikan dan pemikiran Islam moden di Pulau Pinang.
“Penjenamaan masjid ini sebagai Masjid Syed Sheikh Al-Hadi bukan sekadar mengenang jasa seorang tokoh, bahkan menjadi simbol penghargaan terhadap warisan ilmu, dakwah dan pembaharuan Islam yang beliau tinggalkan.
“Kita berharap masjid ini terus berfungsi sebagai pusat ibadah, penyebaran ilmu, dialog masyarakat serta destinasi pelancongan Islam yang mencerminkan keindahan, kesederhanaan dan kecemerlangan Islam di Negeri Pulau Pinang,” ujarnya kepada pemberita.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr. Jafri Abdul Jalil; Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari dan Mufti Kerajaan Negeri, Sohibus Samahah Prof. Madya Dr. Sukki Othman.
Jelas Mohamad, keputusan menjadikan masjid tersebut sebagai Masjid Pelancongan dibuat susulan penyusunan semula fungsi dua masjid utama di Daerah Timur Laut yang dipersetujui oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).
“Kedudukan strategik Masjid Syed Sheikh Al-Hadi yang terletak di pesisir pantai Tanjong Bungah dan menjadi antara mercu tanda pelancongan negeri menjadikannya lokasi yang sesuai untuk menerima kunjungan pelawat dari dalam dan luar negara sepanjang tahun,” ulasnya.
Dalam pada itu, Mohamad turut menjelaskan bahawa Syed Sheikh Ahmad Al-Hadi merupakan tokoh reformis Islam yang menjadikan Pulau Pinang sebagai pusat gerakan pembaharuan pendidikan, penerbitan dan pemikiran Melayu-Islam pada awal abad ke-20.
Tambahnya legasi tersebut mempunyai potensi besar untuk diketengahkan sebagai produk pelancongan warisan intelektual (Intellectual Heritage Tourism) yang mampu melengkapkan imej George Town sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
“Jejak peninggalan Syed Sheikh Al-Hadi mampu dijadikan satu heritage trail yang mengangkat Pulau Pinang sebagai tempat lahirnya gerakan pembaharuan pemikiran Melayu moden dan bukan hanya tertumpu kepada warisan seni bina serta makanan semata-mata.
“Sebuah galeri khas berkaitan Syed Sheikh Al-Hadi juga akan diwujudkan di kawasan masjid bagi memperkenalkan sejarah, pemikiran serta sumbangan tokoh berkenaan kepada masyarakat dan pelawat.
“Inisiatif tersebut selari dengan Agenda Pembangunan Agama Islam Negeri Pulau Pinang (APAI) 2030 yang memberi penekanan kepada usaha memperkasakan institusi masjid sebagai pusat ibadah, pendidikan, kebajikan, dakwah serta pelancongan Islam,” katanya merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.