MPSP pastikan khidmat capai saksama gender

Admin

Oleh: AHMAD ADIL MUHAMAD

SEBERANG JAYA – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) menyediakan borang Soal Selidik Bajet Tahunan 2015 berlandaskan Gender Responsive Participatory Budgeting (GRPB) bagi mendapatkan maklum balas penduduk di sini dalam penyediaan bajet tahunan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Yang di-Pertua MPSP, Maimunah Mohd. Sharif ketika ditemui selepas Majlis Mesyuarat Penuh baru-baru ini berkata, soal selidik tersebut merupakan kali ketiga MPSP melibatkan pandangan orang ramai dalam penyediaan bajet pihak berkaitan.

“Soalan-soalan diberikan adalah untuk membantu MPSP memastikan perkhidmatan diberikan mencapai kesaksamaan gender dan responsif kepada keperluan berbeza bagi kelompok berlainan dengan sumber yang terhad.

“Malah, ia juga bertujuan mendapatkan pandangan dan maklum balas daripada warga Seberang Perai berhubung perkhidmatan yang perlu diperbaiki dan diberi keutamaan oleh MPSP,” ujar beliau.

Menurut Maimunah, borang kaji selidik tersebut dicetak dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil bagi mendapatkan maklum balas yang lebih menyeluruh.

“Langkah tersebut diambil bagi menarik komuniti pelbagai bangsa untuk mengambil bahagian dalam soal selidik ini.

“Selain partisipasi berbilang bangsa, kaji selidik ini turut memerlukan penglibatan daripada gender yang berbeza dan orang kurang upaya (OKU) supaya MPSP dapat menyediakan bajet dan kemudahan yang bersesuaian,” katanya.

Kaji selidik tersebut dimulakan dari 15 April sehingga 18 Mei ini dan pembentangan bajet akan diadakan setelah semua maklumbalas dianalisa kelak.