MPSP usaha kutip botol untuk dikitar semula

Admin
SOON Lip Chee (dua dari kiri) menunjukkan botol-botol terpakaia yang terdapat di Pusat Kitar Semula Tzu Chi untuk dikitar semula di Jalan Mohd. Saad, Bagan di sini.
SOON Lip Chee (dua dari kiri) menunjukkan botol-botol terpakaia yang terdapat
di Pusat Kitar Semula Tzu Chi untuk dikitar semula di Jalan Mohd. Saad, Bagan
di sini.

Oleh: ZULIANA AZIZ

SEBERANG PERAIBagi menyahut seruan Kerajaan Negeri dalam menjadikan negeri ini lebih hijau, bersih, sihat dan selamat, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) telah melantik sebuah syarikat khusus bagi mengitar semula semua jenis botol terpakai.

Pusat Kitar Semula Tzu Chi yang terletak di Jalan Mohd. Saad, Bagan, Seberang Perai Utara (SPU) di sini merupakan satu-satunya lokasi untuk mengitar semula botol-botol terpakai di sini.

Pengerusi Jawatankuasa LA21 MPSP, Soon Lip Chee berkata, MPSP merupakan pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama yang mengambil inisiatif melancarkan kempen kitar semula botol-botol terpakai di negeri ini.

“Buat masa ini, pada tempoh sebulan sekali, kami (MPSP) akan menyediakan lori untuk mengutip botol-botol di sekitar Seberang Perai dan seterusnya dihantar ke Pusat Kitar Semula Tzu Chi.

“Walau bagaimanapun, orang ramai yang tinggal di kawasan lain masih boleh menghantar botol-botol terpakai ke pusat-pusat sumber alam sekitar yang terdapat di setiap daerah iaitu Seberang Perai Selatan (SPS) dan Seberang Perai Tengah (SPT) untuk tujuan sama,” ujarnya kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Tambahnya, MPSP akan sentiasa menjalankan kajian dan memantau perkembangan kutipan botol terpakai dari semasa ke semasa. Oleh itu, jika didapati kutipan botol makin bertambah di masa hadapan, MPSP akan cuba mempertingkatkan operasi kutipan dengan menambah bilangan perjalanan lori kepada dua atau tiga kali setiap bulan.

“Kami amat menggalakkan setiap pemilik rumah serta pemilik premis perniagaan agar menyimpan botol-botol terpakai dan menghantarnya ke pusat kitar semula.

“Ini adalah bagi mengelakkan timbunan sampah dan bahaya kepada penduduk setempat ekoran kesan daripada pembuangan botol yang tidak terkawal,” tambah beliau lagi.

Dalam pada itu, orang awam juga boleh menghubungi Lip Chee pada talian 012 – 429 0163 bagi menyalurkan maklumat mengenai tempat-tempat yang tidak dilalui lori MPSP bagi pengutipan botol-botol terpakai.