Stesen bas DUN Bayan Lepas bakal dinaiktaraf

Admin

TELUK KUMBAR – Masalah stesen bas rosak dan tidak berbumbung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas terutamanya melibatkan kawasan Teluk Kumbar kini mendapat perhatian khas daripada Ahli Majlis Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Iszuree Ibrahim.

Iszuree ketika dihubungi Buletin Mutiara berkata, perkara tersebut telah dilanjutkan kepada Jabatan Kejuruteraan MPPP untuk diambil perhatian sewajarnya.

“Perkara ini telah dibangkitkan pada tahun sudah (2011) iaitu semasa Mesyuarat Bajet MPPP bersama Yang diPertua Majlis antaranya melibatkan dua kawasan iaitu Kampung Matahari Naik dan Taman Sahabat di sini.

“Lanjutan itu, kedua-dua stesen bas tersebut telah dibaiki sepenuhnya dan kini inisiatif tersebut ditumpukan pula kepada stesen-stesen bas lain di sekitar kawasan ini,’’ katanya di sini baru-baru ini.

Beliau memberitahu, antara stesen bas yang diberi perhatian serius adalah hentian bas lama di persimpangan Jalan Pekan Teluk Kumbar di sini.

“Hasil tindakan lanjut, stesen bas tersebut telah dipindahkan oleh MPPP ke lokasi baru dan ia kini memudahkan kenderaan untuk melaluinya.

“Usaha-usaha susulan bagi penambahbaikan stesen hentian bas sememangnya di dalam pemantauan saya sendiri dan pihak MPPP untuk memberi keselesaan dan kemudahan kepada rakyat,” jelas Iszuree

KEADAAN stesen bas yang rosak dan tidak berbumbung di Teluk Kumbar di sini
KEADAAN stesen bas yang rosak dan tidak
berbumbung di Teluk Kumbar di sini