Masyarakat perlu ubah sikap, tindakan segera mampu perangi denggi – Afif

Admin

MACHANG BUBOK – Seluruh negara sedang menghadapi peningkatan kes dan kematian akibat denggi yang amat ketara tahun ini berbanding tahun sebelumnya.

Statistik menunjukkan secara kumulatif, kes denggi yang dilaporkan dari Januari sehingga 2 Mac 2019 (minggu ke-9) adalah sebanyak 26,545 kes berbanding 10,343 kes bagi tempoh sama tahun 2018 iaitu peningkatan sebanyak 156.6 peratus.

Oleh demikian, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin mengajak semua lapisan masyarakat untuk sama-sama membersihkan kawasan pembiakan nyamuk aedes.

“Gotong-royong merupakan salah satu medium menyampaikan maklumat mengenai isu denggi yang berlaku dalam sesuatu kawasan perumahan itu.

“Maka dalam soal denggi ini, masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing dan ubah sikap dengan melibatkan diri dalam aktiviti sebegini, ” katanya ketika berucap merasmikan majlis Gotong-Royong Mega Perangi Aedes Peringkat Negeri Pulau Pinang di Perkampungan Machang Bubok pagi ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubok, Lee Khai Loon; Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Datuk Dr. Wan Mansor Hamzah Pegawai; Daerah Seberang Perai Tengah, Kamarul Haizal Koderat dan Wakil Pengarah Majlis Keselamatan Negara, Mohamad Hasbi Ash – Shiddieqy Ahmad.

Menurut Afif yang juga ADUN Seberang Jaya, sejak tahun 2018, Pulau Pinang mengguna pakai aplikasi ‘beat and predict dengue’ bagi mengesan lebih awal kawasan yang berisiko ‘diserangi’ wabak denggi.

“Cuma apa yang penting kini adalah penglibatan masyarakat kerana mereka sememangnya mempunyai kesedaran mengenai isu denggi ini tetapi masih mengambil sikap sambil lewa.

“Jadi, saya mahu masyarakat kita (di Pulau Pinang) ubah sikap dan mengambil tindakan segera membasmi penularan wabak denggi kerana ia mampu memeranginya (denggi),” tegasnya.

Difahamkan, gotong-royong pagi ini dijalankan secara serentak di seluruh Malaysia hari ini dan pemilihan Perkampungan Machang Bubok adalah rentetan peningkatan kes denggi di sini.

Teks & Gambar: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN