Hilang kelayakan diami PPR Taman Manggis, tapi masih layak mohon beli rumah RMM – respons KM

Admin

SEBERANG JAYA – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata mereka yang telah hilang kelayakan untuk mendiami rumah sewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis, masih ada kelayakan untuk membuat permohonan membeli Rumah Mampu Milik (RMM) dalam pelbagai kategori lain di negeri ini.

Pada hari ini, katanya, Kerajaan Negeri menawarkan sebanyak 4,175 unit RMM Kategori C, dengan RM300,000 harga maksimum di bahagian pulau sementara RM250,000 (Seberang Perai).

“Saya berharap mereka boleh menerima hakikat bahawa mereka telah hilang kelayakan di PPR tetapi sememangnya layak (memohon) untuk kategori (RMM) yang lain.

“Hilang kelayakan (diami) PPR (Taman Manggis) tidak semestinya hilang kelayakan segalanya, tak ada, dia layak (memohon) kategori yang lain.

“Kalau mereka didapati telahpun ada rumah, baru lah hilang kelayakan sepenuhnya kerana ‘rumah kerajaan’ hanya layak dimohon oleh pembeli rumah pertama, bukan menjadikan ‘rumah kerajaan’ untuk mereka urusniagakan,” jelas Kon Yeow kepada pemberita selepas merasmikan Siri Ke-9 Ekspo Perumahan Mampu Milik 1/2019 pada 9 Mac di Pasar Raya Mega Mydin Jalan Baru di sini.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat turut sertai sidang media itu.

Beberapa pihak media menyatakan bahawa terdapat kalangan 22 keluarga yang ‘dikeluarkan’ dari PPR Taman Manggis adalah kerana rumah asal mereka di Sungai Pinang telah dirobohkan demi memberi laluan kepada suatu projek awam.

Lebih 10 tahun lalu, menurut sumber, tidak pernah dipertikai mengenai syarat kelayakan mereka, tetapi mereka terus dipindahkan ke PPR Taman Manggis.

Mengulas isu yang dibangkitkan oleh wartawan, Kon Yeow menyatakan bahawa kategori berkaitan sebenarnya adalah ‘transit’.

“Kategori ini, sebenarnya ‘transit’ sahaja, mereka ditawarkan di Sungai Pinang, Sri Saujana dan sebagainya.

“Mungkin, ini pada zaman sebelum kami (Kerajaan Negeri era Barisan Nasional)… (penempatan mereka di) PPR Taman Manggis memang sementara sahaja, sementara pun sudah jadi sampai 10 tahun hingga 12 tahun.

“Memang ada kelemahan daripada segi pengurusan,” responsnya.

Sebelum itu, Jagdeep ketika menyampaikan ucapan aluan berkata, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan sehingga kini telah menyediakan skim sewa untuk memiliki (Rent-to-Own) untuk memudahkan rakyat yang belum memiliki unit kediaman pertama, layak membeli rumah.

Sehingga kini, ulasnya, ada empat projek perintis telah menggunakan model Rent-to-Own iaitu di Taman Seruling Emas dan Sungai Duri Permai dekat Jawi; 231 unit kediaman di Kampung Permatang Tok Subuh dekat Bukit Mertajam dan 580 unit kediaman lain di Balik Pulau.

“Mungkin mereka yang telah hilang kelayakan untuk tinggal di PPR Taman Manggis, boleh memohon skim ini untuk diberi keutamaan oleh Kerajaan Negeri,” ujar beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembersihan dan Peningkatan Mutu Proses Pemilihan Perumahan (SPEC).

Dalam perkembangan sama, Jagdeep sekali lagi mengumumkan bahawa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah meluluskan pembinaan PPR di atas sebidang tanah berkeluasan empat ekar dekat Jelutong yang bakal menyediakan ribuan lagi unit kediaman sewa kepada mereka yang layak.

Tambah beliau, dengan siapnya pemajuan projek itu serta beberapa lagi projek seumpamanya di keempat-empat daerah lain, sekaligus akan membolehkan Kerajaan Negeri memenuhi impian pemohon PPR yang layak, kelak.

Sehingga kini, kata Jagdeep, Kerajaan Negeri telah mengotakan janji manifesto pilihan raya umum lepas, iaitu menyediakan 76,000 unit rumah kos rendah, kos sederhana rendah dan RMM pelbagai kategori; serta jumlah unit kediaman yang siap dibina menjelang tahun 2020 kelak dijangka hampir 102,000 unit.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : DARWINA MOHD. DAUD