Mural baharu diharap jadi tarikan pengunjung ke Batu Lancang – ADUN

Admin
ONG Ah Teong (kiri sekali) bersama menunjukkan dinding yang bakal memaparkan karya Julia Volchkova (tengah) dekat Batu Lancang hari ini.

BATU LANCANG – Flat Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di belakang Pasar Awam Batu Lancang di sini diharap akan menjadi tarikan baharu buat pungunjung apabila lukisan mural artis antarabangsa, Julia Volchkova siap nanti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lancang, Ong Ah Teong berkata, diharap inisiatif khas beliau menjadikan dinding di flat berkenaan sebagai kanvas terbaharu artis tersebut melakarkan karya mampu menarik pengunjung ke kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) berkenaan.

Katanya, jika sebelum ini Batu Lancang hanya terkenal dengan pasarnya sahaja, tetapi kini kawasan ini mempunyai tarikan baharu.

Seperti kita ketahui Julia sebelum ini ada menghasilkan beberapa karya terkenal dan menjadi tarikan seperti di Balik Pulau dan George Town, jadi saya harap dengan adanya lukisan baharu ini, ia mampu menarik lebih ramai orang ke Batu Lancang yang selalunya terkenal dengan pasarnya sahaja.

Selepas ini saya juga bercadang akan mendapatkan pula beberapa pelukis tempatan yang lain untuk melakarkan idea karya mereka di sekitar Jalan Van Praagh yang terkenal dengan pasar malamnya,” ujar beliau yang mengambil peluang ’emas’ tersebut apabila mengetahui artis tersohor berkenaan berada di Pulau Pinang.

Turut menemani beliau pada sidang media sebentar tadi, Julia Volchkova.

Bercakap mengenai pemilihan Julia, Ah Teong memaklumkan karya tersebut mampu tersebar luas berikutan pengikut artis berkenaan di media sosial menjangkaui hingga ke peringkat antarabangsa, secara tidak langsung mampu mempromosikan Pulau Pinang.

Dalam pada itu, Julia ketika ditemui menyatakan rasa gembira apabila mendapat peluang sekali lagi melukis di Pulau Pinang.

Kali ini saya akan menghasilkan sebuah mural memaparkan bagaimana kegigihan seorang cucu menjaga neneknya yang sakit akibat diserang angin ahmar (stroke).

Saya jangkakan lukisan ini akan dapat disiapkan dalam jangka masa satu minggu, walau bagaimanapun ianya bergantung kepada cuaca,” ujar beliau yang dijangka memulakan sentuhan unik beliau sekitar jam 7 petang nanti.

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar: AHMAD ADIL MUHAMAD