Pembinaan tiga jalan utama, kontraktor dilantik perlu patuhi 59 syarat EIA – Exco

GEORGE TOWN – Sebanyak 59 syarat yang termaktub di dalam Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) perlu dipatuhi kontraktor yang dilantik bagi pembinaan projek tiga jalan utama di negeri ini, kata Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari.

Tiga jalan berkenaan meliputi Jalan Berkembar Pesisiran Pantai Utara dari Tanjung Bungah – Teluk Bahang, Jalan Pintas Air Itam – Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu dan Jalan Pintas Persiaran Gurney – Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu.

Kelulusan EIA diperolehi pada 7 November 2017 mengikut Seksyen 34(A) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan di dalam kelulusan tersebut terkandung 59 syarat lazim yang perlu dipatuhi oleh kontraktor utama (dilantik).

Syarat-syarat kelulusan adalah melibatkan perihal pematuhan, konsep, penyediaan pelan pengurusan alam sekitar sebelum pembinaan boleh dilaksanakan, kawalan kerja tanah, kawalan air larian, kawalan hakisan dan kelodakan, penstabilan cerun dan pematuhan kualiti air, udara, bunyi bising serta gegaran.

Kawalan aktiviti letupan batu, pengurusan buangan dan buangan terjadual, pelaporan kemajuan projek, pematuhan dan kualiti alam sekitar, keperluan audit alam sekitar dan lain-lain hal pentadbiran juga termasuk di dalam syarat yang perlu dipatuhi pihak kontraktor,” katanya pada sidang media, di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Ketua Pasukan Yes Enviro Services Sdn. Bhd., Ir. Dr. Lee Aik Heng; Pengarah Eksekutif Kanan Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd., Datuk Lee Chee Hoe dan mantan Exco Kerajaan Negeri, Lim Hock Seng.

Zairil menjelaskan, selain kelulusan laporan EIA, kontraktor juga perlu mendapat kelulusan-kelulusan yang berkenaan di bawah bidang kuasa agensi teknikal yang berkaitan.

Sekiranya kontraktor didapati melanggar mana-mana syarat kelulusan laporan EIA atau Jabatan Alam Sekitar sehingga mendapati terdapat isu pencemaran semasa pembinaan tiga jalan utama berkenaan, agensi-agensi berkaitan boleh mengambil tindakan untuk menghentikan projek sehingga berpuas hati terhadap langkah-langkah mitigasi atau baik pulih telah diambil.

Selain itu juga, tindakan perundangan juga boleh dikenakan terhadap kontraktor terbabit yang gagal mematuhi garis panduan yang ditetapkan bersandarkan laporan EIA,” katanya lagi.

Sementara itu, Aik Heng yang mengetuai pasukan kajian laporan EIA menerangkan, Pelan Kawalan Hakisan Tanah dan Sedimen (ESCP) akan digunakan bagi mencegah hakisan tanah tapak pembinaan daripada mengalir ke sungai, tasik atau laut.

Pelan ini termasuk langkah-langkah untuk mencegah hakisan, memerangkap sedimen dan kawalan saliran,” katanya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS