Pasaran hartanah sekunder diramal rancak suku ke-3

PANTAI JEREJAK – Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow percaya bahawa suku ketiga tahun 2015 akan lebih menjanjikan kerancakkan pada transaksi jual beli hartanah sekunder.

Jelas beliau, jangkaan tersebut adalah disebabkan beberapa kaedah ‘penyejukkan harga’ yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri bersama-sama Kerajaan Pusat dalam menangani kenaikan harga hartanah yang melampau.

“Kerajaan Negeri sedar akan keperluan untuk memastikan harga hartanah tidak melambung di luar kawalan, justeru, kami (Kerajaan Negeri) memperkenalkan beberapa langkah ‘penyejukkan’ untuk ‘menyejukkan’ pasaran (hartanah) di Pulau Pinang termasuk mengenakan moratorium 10 dan lima tahun ke atas jualan rumah kos rendah, sederhana rendah dan mampu milik,” ujarnya pada Majlis Perasmian Pameran Hartanah Sekunder Malaysia (MASPEX) Peringkat Negeri Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Presiden Institut Agen Hartanah Malaysia (MIEA) yang juga selaku penganjur utama, Erick Ying Tian Kho.

Menurut Kon Yeow, dalam mengimbangi cabaran mengawal hartanah di Pulau Pinang, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan pemaju swasta amat komited dalam usaha menyediakan perumahan mampu milik kepada penduduk negeri ini.

“Setakat ini, Kerajaan Negeri telah melaksanakan 12 projek di semua lima daerah Pulau Pinang yang menyaksikan lebih dari 22,000 unit rumah mampu milik sudah, sedang dan dirancang untuk pembinaan.

“Malah, sebagai tambahan, Jawatankuasa Penambahbaikan Proses Pemilihan (SPEC) juga ditubuhkan bagi memastikan pemilihan pemohon berjaya adalah lebih adil dan menghubungkan pihak pemaju serta pembeli dalam memudahcarakan proses pemilikan,” jelas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

Dalam pada itu, Tian Kho menyifatkan bahawa jualan hartanah sekunder adalah amat mempengaruhi pasaran kini.

“Laporan Hartanah Malaysia menyatakan bahawa 75 peratus transaksi hartanah adalah melibatkan hartanah sekunder selain harga yang berpatutan mengikut lokasi tertentu,” ujarnya.

}