Nasi Lemak 60 sen!

SAMBIL menghirup kopi panas buatan sendiri pada petang dingin dek akibat hujan yang tidak berhenti semenjak dari pagi, aku teringat kisah kami dua beradik yang bermandikan hujan sambil mengerat daun pisang. Daun pisang, untuk emak gunakan bagi membungkus nasi lemak yang dijualnya. Selalunya abah akan membawa aku dan satu-satunya adik lelaki aku pulang ke kampung yang jaraknya kurang 20 kilometer dari kuarters yang kami diami untuk mengutip hasil kampung seperti kelapa, daun pandan, daun pisang, pucuk-pucuk kayu seperti putat, pucuk ubi, pucuk gajus dan pucuk kadok. Sesekali bila ada musim, abah akan mengait buah binjau dan pasti hasilnya adalah kari binjau yang dipecah telur.

 

Kami mengharungi kehidupan yang sederhana dengan pendapatan abah sebagai penjawat awam beruniform. Sementara emak membantu abah dengan berniaga kecil-kecilan. Hasil jualan itulah yang banyak membantu kami adik beradik membesar serta membiayai pengajian kami di universiti. Ketika itu, sebungkus nasi lemak emak berharga 60 sen, nasi lemak biasa yang di dalamnya ada telur rebus yang dibelah empat, hanya satu perempat sahaja untuk sebungkus nasi lemak biasa, sehiris timun dan sedikit ikan bilis berserta sambal. Sebiji kuih pula berharga 20 sen. Seawal jam 6 pagi abah sudah keluar menyorong kereta tolak beroda untuk berniaga dan emak pula akan menggantikan tempat abah jam 7 pagi kerana abah harus bersiap untuk ke tempat kerja pula. Untungnya, emak hanya berniaga di kawasan kuarters tempat tinggal kami yang jaraknya hanya beberapa meter sahaja. Rata-rata pelanggan emak adalah penghuni kuarters itu sendiri dan di antaranya ialah pekerja kilang, pekerja hospital swasta dan lain-lain.

 

Selalunya emak hanya perlu berniaga dari jam 6 pagi hingga 10 pagi dan pendapatan emak ketika itu antara RM150 – RM180 sehari. Sesekali ada juga mencecah RM250! Hasil jualan ini termasuklah beberapa jenis kuih yang dibuat oleh emak dan ada juga kuih yang ditumpang oleh jiran tetangga. Terdapat juga lauk pauk tambahan seperti sambal kerang, sotong kering, sambal ikan masin, telur goreng dan telur dadar. Sesekali emak akan menambah ayam masak ros dan daging masak hitam bergantung kepada harga daging dan ayam.

 

Ketika itu harga tepung sekilo RM0.90, harga minyak masak sekilo RM1.10 (sepeket), santan kelapa pula hanya RM3.00 sekilo dan daun pandan atau daun pisang hanya 50 sen seikat. Tapi ini dulu, satu ketika dulu, lebih kurang 18 atau 20 tahun dahulu! Hari ini, lain pula ceritanya. Bukan sahaja lain dek kerana harga, tapi juga berbeza daripada segi kos sara hidup. Mungkin sukar untuk difahami bila melibatkan bahasa ekonomi kepada golongan seperti emak dan abah, tapi emak tetap akan berfikiran relevan kalau harga barang mula naik. Emak hanya akan berceloteh panjang saat pulang dari pasar jika harga bawang mahal sepuluh sen dua. Begitu juga dengan harga ikan bilis atau harga cili kering. Sebab itulah barangan asas yang selalu digunakan oleh emak untuk membuat sambal nasi lemak.

 

Golongan seperti emak iaitu pengguna dan tambah pula sebagai seorang peniaga akan merasai kesan apabila berlaku perubahan pada harga barang. Walaubagaimanapun, apabila harga tepung naik, emak tidak terus naikkan harga, emak hanya mengecilkan sedikit saiz kuih karipapnya dan begitu juga untuk kuih donat emak, namun ia tetap gebu. Emak sangat terkenal dengan donat yang gebu dan lembut di kalangan pelanggan tetapnya, sehingga mak dipanggil Kak Mah Donut Gebu! Namun payah untuk ketemu donat yang sebegitu, sama ada nampak gebu tapi tidak lembut atau lembut tapi kurang rasa. Yang pasti, harganya bukan 30 sen! Selain itu, emak juga akan mula membuat tinjauan bagi mendapatkan harga dan promosi yang terbaik untuk segala barangan. Emak mula membuat perbandingan harga di setiap kedai dan membeli pada harga yang paling murah. Tingkah laku kewangan emak dalam berbelanja dan berniaga merupakan contoh terbaik untuk kami adik beradik.

 

Setakat artikel ini ditulis, telah berlaku perubahan harga bagi barangan keperluan seperti tepung gandum, gula dan minyak masak di mana harga sekilogram tepung gandum adalah di antara RM3.20 (terendah) hingga RM4.70 (tertinggi) sepaket, gula pula adalah di antara RM2.80 (terendah) hingga RM2.85 (tertinggi) sepaket bagi kategori gula putih bertapis kasar dan minyak masak dalam kemasan botol lima kilogram (kg) ditetapkan pada harga di antara RM27.90 (terendah) sehingga RM30.90 (tertinggi).

 

Dari segi bahasa ekonominya, perbezaan harga ini sememangnya berada di dalam putaran Indeks Harga Pengguna (IHP), di mana IHP mengukur perubahan merentas tempoh masa dalam kos pembelian sekumpulan barangan dan perkhidmatan yang merupakan corak pembelian purata yang dibuat oleh kumpulan penduduk tertentu di kawasan bandar dan luar bandar. IHP dikira mengikut empat zon untuk Semenanjung Malaysia (iaitu utara, tengah, selatan dan timur) dan digabungkan dengan Sabah dan Sarawak untuk menghasilkan indeks Malaysia. Indeks Malaysia ialah indeks komposit, dengan wajarannya berdasarkan wajaran perbelanjaan wilayah daripada indeks ketiga-tiga wilayah tersebut.

 

Pengalaman itu mahal dan umpama mutiara. Dari pengalaman kita belajar untuk mengharungi kehidupan dan era perubahan yang berlaku. Walau bagaimanapun, bukan hanya pengalaman menjadi ukuran tetapi cara kita menanganinya serta melepasinya. Kita tak mungkin mampu kawal perubahan dan transformasi harga, namun kita pasti dapat mengawal perbelanjaan mengikut keperluan dan kehendak serta kapasiti dan kemampuan sendiri. Selain itu, yang paling utama, kita harus menambah baik perancangan kewangan dengan mengurusnya pada hari ini, supaya kita memperoleh ketenangan minda untuk esok yang lebih baik.

 

Kini emak dan abah telah kembali ke negeri abadi, meninggalkan kami dengan didikan dan asuhan yang tidak mungkin kami abaikan. Antaranya berjimat cermat, bersederhana, menabung walau hanya 10 sen sahaja (sehingga Tingkatan Lima – awal 1990-an, kami adik beradik hanya di beri 70 sen sebagai wang saku), makan apa yang dimasak oleh emak tanpa banyak soal dan hanya pakai apa yang diberi. Kami amat jarang sekali makan di luar, apatah lagi berhibur. Emak kerap berpesan, “Beli setakat hendak pakai dan makan” terutamanya apabila kami mula hidup berjauhan daripada emak dan abah kerana menyambung pengajian dan bekerja di tempat baru.

 

Aku sangat kagum akan cara emak mengawal perbelanjaan, dengan anak seramai tujuh orang dan pendapatan abah bawah RM1,000, emak dan abah masih mampu menyediakan perbelanjaaan sekolah kami, makan tengah hari yang sempurna malah pakaian baru menjelang raya. Malah, emak dan abah turut menyara kami tiga beradik yang berada di IPTA secara serentak! Istilah emak sangat mudah, hiduplah di bawah kemampuan. Hari ini, siapa pun kita, tidak kira di mana kita berdiri dan berapa sekalipun pendapatan kita, bersyukurlah dengan apa yang kita ada. Hiduplah secara bersederhana dan menabunglah untuk sesuatu yang tidak kita jangka kerana kadangkala perkara yang berlaku adalah di luar kawalan seperti sakit demam yang tidak kita minta, kematian yang tidak pasti bila dan banyak lagi.

 

Pada asasnya, apa sahaja yang berlaku di sekeliling kita, diri kita sendiri turut memainkan peranan. Kita boleh mengubah keadaan untuk mencapai kesejahteraan kewangan yang lebih baik sekiranya kita dapat menguasai tingkah laku kewangan yang betul. Persepsi yang betul tentang kesejahteraan kewangan sangat penting untuk orang ramai supaya mereka dapat mengambil semua peluang pendidikan dan nasihat kewangan yang ditawarkan oleh AKPK atau mana-mana institusi sah yang lain. Tiada siapa yang ingin merancang untuk gagal, namun ramai yang gagal untuk merancang!

 

Apa-apa pun, yang pasti tiada lagi nasi lemak 60 sen!