Syor panggil KR, KSR sebagai Jenis 1, Jenis 2 – Exco

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING

BAYAN LEPAS – Rumah Mampu Milik kategori Kos Rendah (KR) dan Kos Sederhana Rendah (KSR) lebih sesuai dipanggil Jenis Satu RM42,500 dan Jenis Dua RM RM72,500 demi membaiki sensitiviti para pemiliknya di negeri ini.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, pihaknya sendiri akan membawa syor tersebut dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri.

“Masanya sudah tiba untuk kita (Kerajaan Negeri) memberikan ‘maruah’ kepada pembeli-pembeli unit rumah dalam dua kategori ini.

“Dua kategori ini pun adalah Rumah Mampu Milik Jenis 1 RM42,500 dan Jenis 2 RM72,500, jadi saya akan cadang beri identiti baru kepada para pemilik rumah bagi dua kategori ini,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat di sini baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penyerahan replika kunci kepada 334 penerima Jenis 1 dan 80 Jenis 2 di rumah pangsapuri Ara Greens, yang dianjurkan oleh pemaju, GSD Land Sdn. Bhd..

“Ini sungguh bermakna kepada saya, kerana ini menunjukkan pemaju yang bertanggungjawab dengan membina unit-unit Rumah Mampu Milik Jenis 1 dan Jenis 2, sebagaimana digariskan oleh Kerajaan Negeri,” jelas beliau.

Pengarah GSD Land Sdn. Bhd., Lee Ham Kong, Puah Cheng Peng (Pengarah Urusan GSD) dan Tan Chin Chua (Pengarah Pemasaran & Pentadbiran Kredit GSD) turut menyertai majlis tersebut.

Difahamkan, sebanyak 12,471 unit KR melalui 64 projek pemajuan dan 7,608 unit KSR melalui 28 projek pemajuan lain telahpun dibina meliputi kelima-lima daerah di negeri ini, dalam tempoh tahun 2008 hingga bulan Mei lepas.

Dalam tempoh yang sama, 23 projek membina 3,796 unit KR dan sembilan projek memajukan 5,246 unit KSR lain turut diluluskan oleh Kerajaan Negeri.

Manakala, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) pula akan memajukan 12 projek rumah mampu milik di kelima-lima daerah, yang terdiri oleh 787 unit KR, 7,874 KSR dan 13,851 unit jenis Rumah Mampu Milik.

Tambah Jagdeep, sehingga kini, sektor swasta telahpun mengemukakan rancangan untuk membina sejumlah 12,606 unit rumah mampu milik yang mengikut 100 peratus garis panduan yang ditetapkan di bawah Kerajaan Negeri.} else {