Nostalgia P. Ramlee di Jalan P. Ramlee

OLEH : YAP LEE YING

GAMBAR : AHMAD FARHAN MOHD. FAUZI

 

“GETARAN jiwa, melanda hatiku. Tersusun nada, irama dan lagu…” Kedengaran kemerduan lagu Getaran Jiwa apabila wartawan dan jurugambar Buletin Mutiara (BM) menghampiri perkarangan Rumah Kelahiran dan Galeri P. Ramlee yang terletak di Lot 2180, Jalan P. Ramlee, Pulau Pinang.

Bagi jurugambar BM, walaupun dilahirkan di Pulau Mutiara, namun, inilah kali pertama beliau bertandang ke sini. Tanpa menyatakan sebabnya, beliau hanya tersenyum sinis dan terus menuju ke sebuah rumah kayu di mana seniman agung, Allahyarham Tan Sri Dr. P. Ramlee (P. Ramlee) dilahirkan.

Menurut catatan sejarah, rumah tersebut telah dibina pada tahun 1926 oleh bapa P. Ramlee, Allahyarham Teuku Nyak Puteh Teuku Karim yang berasal dari Lhokseumawe, Acheh bersama bapa saudaranya, Allahyarham Rejab Hussein. Di zaman pendudukan Jepun, rumah tersebut telah dibaiki semula oleh bapanya saudaranya dan pengubahsuaian terakhir dijalankan pada tahun 1948 tanpa mengubah bentuk asal rumah berkenaan.

Cuma terdapat sebuah bilik, sebuah dapur ringkas dan ruang tamu kecil di dalam rumah kelahiran P. Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Nyak Zakaria Teuk Nyak Puteh. Gambar-gambar beliau ketika di zaman sekolah dan remaja turut memenuhi dinding rumah yang dijaga rapi oleh Arkib Negara Malaysia.

Kesempatan tersebut turut digunakan oleh BM untuk melawat Galeri P. Ramlee yang terletak bersebelahan dengan rumah kelahiran Allahyarham. Di galeri tersebut mempamerkan pelbagai gambar, catatan sejarah ringkas, baju, bagasi, piring hitam dan lain-lain barang milik seniman agung negara tersebut.

Malah, BM turut berkesempatan menemuramah seorang penduduk tempatan yang kini merupakan pengawal keselamatan, Mohd. Yusof Pitchay, 65, di galeri terbabit.

Menurut Mohd. Yusof, walaupun umurnya masih terlalu muda untuk mengenali P. Ramlee secara dekat sebelum Allahyarham menerima tawaran berlakon dengan Shaw Brother Malay Film Production di Singapura, beliau amat memuja bakat seni P. Ramlee.

“Selepas menerima tawaran berlakon di Singapura, Ramlee telah menjadi terkenal. Ketika Ramlee menjadi Pengarah filem Penarik Beca, penduduk di sini telah mengambil kesempatan untuk menjemput beliau untuk mengadakan persembahan khas di sini (tempat kelahiran).

“Lanjutan itu, sebanyak tiga pentas telah didirikan dan persembahan Ramlee adalah di atas pentas paling besar. Ketika itu umur pakcik adalah 10 tahun. Sepanjang persembahan, pakcik berada di depan bawah pentas. Seronok sungguh mendengar Ramlee menyanyi,” katanya tanpa segan silu sambil turut menyanyi mengikut lirik lagu ‘Getaran Jiwa’ yang didendangkan.

Mohd. Yusof memberitahu, ‘orang luar’ lebih mengenali P. Ramlee berbanding rakyat tempatan. Pada hari minggu, bas-bas persiaran yang membawa pelancong dari Jerman, China dan lain-lain negara akan memenuhi kawasan parkir arkib.

“Pernah sekali, apabila tiba di sini, seorang warganegara Jepun terus menyanyikan lagu Getaran Jiwa,” jelasnya.

Waktu Lawatan :

Selasa – Ahad : 10 pagi – 5.30 petang

Jumaat : 10 pagi – 12 tengah hari ; 3 petang – 5.30 petang

Isnin : Tutup kecuali cuti umum dan cuti sekolah

 

Masuk adalah PERCUMA

Latar Belakang :

Beliau telah dilahirkan di Pulau Pinang pada pagi Hari Raya Aidilfitri 22 Mac 1929 kepada pasangan Teuku Nyak Puteh Teuku Karim (1902 – 1955) dan Che Mah Hussein (1904 – 1967). Bapanya yang berasal dari Lhokseumawe, Acheh, telah mendirikan rumahtangga dengan Che Mah Hussein pada tahun 1925 di Kubang Buaya, Butterworth. P. Ramlee juga mempunyai seorang adik-beradik tiri, Syeikh Ali, yang sama ibu dengannya.

Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Jawa dan kemudian ke Sekolah Francis Light. Seterusnya beliau menyambung pelajaran di Penang Free School sehingga meletusnya Perang Dunia Kedua. Ketika pendudukan tentera Jepun di Tanah Melayu, beliau belajar di Sekolah Tentera Laut Jepun sebelum kembali ke Penang Free School apabila tamat perang.

Permulaan Kerjaya Seni

Bermula dengan bermain Ukulele, P. Ramlee beralih kepada gitar dan biola di bawah bimbingan Encik Kamaruddin (pemimpin brass band di Penang Free School). Beliau menyertai Orkes Teruna Sekampung dan kemudian Sinaran Bintang Sore.

Beliau pernah menjadi juara nyanyian anjuran Radio Pulau Pinang pada tahun 1947 dan terpilih sebagai Bintang Penyanyi Utama Malaya. Dalam pertandingan itu, beliau menggunakan huruf “P” (bagi Puteh) di awal namanya dan kekallah nama P. Ramlee itu hingga ke akhir hayatnya.

Filem pertama lakonan P. Ramlee adalah “Chinta” pada tahun 1948. Beliau memegang peranan sebagai penjahat dan nyanyian latar.

Kejayaannya terus berkembang dan telah berjaya berlakon di dalam 27 buah filem di antara tahun 1948 hingga 1955.

Filem terakhir lakonan beliau ialah “Laksamana Do Re Mi” pada tahun 1972 dan lagu dan lirik terakhirnya adalah “Ayer Mata Di Kuala Lumpur” pada tahun 1973 sebelum beliau menghembuskan nafas terakhirnya.