OLEH : YAP LEE YING
GAMBAR : AHMAD FARHAN MOHD. FAUZI
TIADA siapa yang mengetahui bahawa di sebalik senyuman mesra Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Y.B. Dato’ Hj. Abdul Halim Hussain, 50, sebenarnya tersirat seribu keazaman terutamanya dalam mempromosikan erti kata demokrasi di DUN negeri ini. Baginya, walaupun perjalanan ke arah tersebut masih jauh, beliau percaya tiada apa yang mustahil dalam merealisasikan visi berkenaan. Ikuti wawancara Buletin Mutiara (BM) bersama beliau baru-baru ini.
BM : Secara luaran, masyarakat umum melihat tugas seorang Speaker hanyalah mempengerusikan sidang DUN. Bolehkah Y.B. Dato’ perjelaskan serba-sedikit tugas sebenar Speaker.
Dato’ Abdul Halim : Mempengerusikan Sidang DUN lazimnya adalah tugas umum seorang Speaker. Selain mempengerusikan Sidang DUN yang berlangsung dua hingga tiga kali dalam tempoh setahun, saya juga mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Dewan, Mesyuarat Jawatankuasa Hak & Kebebasan dan Mesyuarat Jawatankuasa Peraturan Dewan dari semasa ke semasa. Tugas-tugas lain termasuk mempengerusikan Mesyuarat Majlis-Majlis Rasmi Kerajaan Negeri dan tugas-tugas pentadbiran.
BM : Apakah cabaran Y.B. Dato’ sebagai seorang Speaker terutamanya ketika mempengerusikan sidang DUN. Adakah Y.B. Dato’ pernah dilabel sebagai berat sebelah.
Dato’ Abdul Halim : Tidak pernah terlintas di dalam sanubari saya dilantik sebagai Speaker Dewan, bagaimanapun saya menerima amanah, tanggungjawab dan kepercayaan yang diberikan oleh DUN kepada saya. Selepas perlantikan, saya membuat banyak rujukan melalui buku, melayari laman sesawang dan merujuk kepada rakan-rakan Speaker DUN dalam dan luar negara untuk mengetahui dengan lebih lanjut berhubung praktis dan peranan sebenar DUN serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Cabaran utama saya adalah bagi mempastikan sidang DUN berjalan dengan lancar dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri mematuhi Peraturan Dewan semasa perbahasan.
Saya pernah dilabel sebagai berat sebelah bukan sahaja oleh Adun Pembangkang tetapi juga oleh Adun Kerajaan, yang penting sebagai seorang Speaker saya perlu berlaku adil. Contohnya di dalam satu Sidang DUN, saya telah mengambil tindakan ke atas ADUN pembangkang dan juga ADUN Kerajaan dengan meminta kedua-dua pihak terbabit keluar dari dewan kerana gagal mematuhi Peraturan Dewan. Situasi ini tidak pernah berlaku di negeri lain.
BM : Apakah perubahan yang Y.B. Dato’ ingin lihat di DUN negeri Pulau Pinang.
Dato’ Abdul Halim : Perlu ditekan bahawa DUN merupakan Institusi bagi mempastikan sistem demokrasi dilaksanakan secara telus dan akauntabel. DUN menjadi simbol demokrasi sesebuah negeri sebagaimana Parlimen untuk sesebuah negara.
Saya ingin melihat cadangan “Benchmarks for Democratic Legislatures” yang dicadangkan oleh CPA (Commonwelth Parliamentary Association 2008) dapat dilaksanakan di peringkat DUN dan juga Parlimen. Penanda aras ini mencadangkan reformasi DUN / Parlimen yang menepati praktis demokrasi semasa yang telah dilaksanakan di banyak Negara-negara Komonwelth dan negara-negara maju.
Di DUN Pulau Pinang beberapa inisiatif baru telah dilaksanakan antaranya ialah penubuhan Unit Pendidikan di bawah DUN yang bertujuan memberi pendidikan dan pendedahan berhubung fungsi DUN dan peranan ADUN kepada pelawat-pelawat yang mengunjugi Dewan Undangan Negeri. Melalui Unit Pendidkan ini, persatuan-persatuan pelajar sekolah, universiti dan pemimpin komuniti hanya perlu memohonan bagi mengadakan lawatan ke DUN.
Program ini penting kerana dari kajian yang dijalankan bahawa rakyat masih kabur tentang peranan DUN dan ADUN. Peranan ini sangat penting kerana apa jua keputusan yang diputuskan di DUN akan memberi kesan kepada kehidupan harian rakyat. Ramai yang tidak mengetahui bahawa DUN adalah tempat undang-undang negeri digubal. DUN juga adalah tempat dimana ADUN membahas isu-isu rakyat, ADUN juga memeriksa dan memantau dasar dan keputusan Kerajaan Negeri melaui soalan-soalan di dalam DUN.
Kerajaan Negeri turut menganjurkan seminar dan lawatan ke luar negara membabitkan ADUN. Penganjuran tersebut lazimnya bertujuan memberi pengetahun dan kesedaran kepada ADUN mengenai bidang kuasa dan ‘kuasa’ mereka sabagai ADUN di dalam DUN.
BM : Bolehkah Y.B. Dato’ berkongsi serba-sedikit latar belakang Y.B. Dato’.
Dato’ Abdul Halim : Saya dilahirkan di Kongsi, Balik Pulau pada tahun 1960. Mendapat pendidkan awal di Sekolah Rendah St. George Balik Pulau, pendidikan menengah di Sekolah Menengah Syed Syeikh Sahabudin di Bukit Mertajam dan Sekolah Menengah Penang Free Georgetown. Berkelulusan BBA (Ferris State Michigan, Amerika Syarikat) , MBA (Universiti Sains Malaysia) dan CFP
Kerjaya awal saya sebagai seorang pendidik di Sekolah Menengah St. George Balik Pulau sebagai guru mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Geografi. Saya juga pernah bertugas sebagai pensyarah di Maktab Sains Mara, Kuantan. Saya kemudiannya meninggalkan dunia pendidikan pada tahun 1989 untuk berkhidmat sebagai Pegawai Latihan di sebuah bank tempatan. Jawatan akhir saya setelah 12 tahun berkhidmat di bank tesebut adalah sebagai Pengurus Unit Perniagaan Komersial dan Perbankan Koporat sebelum berkecimpung di bidang perniagaan. Bermula Oktober 2001, saya melibatkan diri di dalam bidang latihan pengurusan dan perundingan kewangan.
Saya mendirikan rumah tangga pada akhir tahun 1990 dan kini saya dikurniakan lima cahaya mata.
BM : Apakah hobi Y.B. Dato’.
Dato’ Abdul Halim : Hobi saya adalah membaca, berbasikal dan mengembara ke luar negara. Di bidang sukan saya meminati sukan bola sepak, tenis dan olahraga.