SERING berada di udara pada ketinggian antara 30 hingga 60 meter di dalam sebuah helikopter ketika melaksanakan kerja pemadaman kebakaran hutan bukanlah suatu tugas yang mudah untuk digalas.
Namun, itu adalah antara cabaran yang harus ditempuh anggota Pasukan Khas Udara Bomba (PASKUB), Pegawai Bomba Nurul Hazirah Mohamad Faizal, 24, ketika melaksanakan tugasan berkenaan di sekitar hutan Perak pada tahun lalu.
Gadis berasal dari Kuching, Sarawak, namun dibesarkan di Kuala Lumpur dan kini bertugas di Pangkalan Udara Wilayah Utara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Bertam, Seberang Perai Utara, itu merupakan salah seorang daripada tiga anggota perintis wanita dalam unit PASKUB di negara ini.
Menurutnya, minat untuk menyertai pasukan beruniform itu sudah disemai sejak kecil, yang mana kerjaya sebagai anggota tentera merupakan pilihan utamanya sebelum memilih untuk menjadi anggota bomba.
“Sejak kecil saya bercita-cita untuk menjadi anggota beruniform ini dan di sekolah pun saya aktif dalam aktiviti kokurikulum dengan menyertai Pasukan Kadet Bersatu Malaysia (PKBM) dan Kadet Polis.
“Disebabkan itu jugalah, saya sebenarnya lebih memilih untuk menjadi anggota tentera mengikuti jejak langkah bapa saya namun, keluarga saya pula tidak menggalakkannya.

“Sebaliknya mereka mencadangkan saya untuk cuba menjadi anggota bomba disebabkan bapa saudara saya juga adalah seorang anggota bomba,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Buletin Mutiara semasa Hari Buletin 5.0 Bersama Bomba di Kompleks Sukan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) di Jalan Betek, Bukit Mertajam, pada 6 September lalu.
Anak ketiga daripada empat adik-beradik itu berkata, tidak pernah terlintas di fikirannya untuk diserapkan menjadi sebahagian daripada pasukan khas dalam JBPM.
“Selepas tamat latihan di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Wakaf Tapai, Terengganu pada 2024, saya serta dua lagi rakan sepelatih wanita diserapkan terus ke PASKUB.
“Saya seorang sahaja yang dihantar bertugas ke Bertam manakala dua lagi rakan saya pula diletakkan di Pangkalan Udara Wilayah Tengah JBPM di Lapangan Terbang Subang, Selangor.
“Cabarannya memang banyak dan sama seperti menjadi anggota bomba juga cuma saya sebagai penyelamat udara dalam PASKUB ini, ia lebih menjurus kepada udara maka menuntut latihan serta komitmen yang tinggi terutama dari segi keselamatan kerana kita berada dalam helikopter,” jelasnya.
Anak kepada pasangan Mohamad Faizal Saili, 52, dan Hasmina Jamaludin, 54, itu berkata lagi, sebagai kru penerbangan yang juga penyelamat udara, antara operasi udara yang dianggap mencabar baginya adalah operasi memadamkan kebakaran di Gunung Semanggol, Bukit Merah pada tahun lalu.
“Pemadaman api dari udara bukanlah mudah kerana helikopter yang dinaiki turut dilengkapi dengan peralatan ‘Bambi Bucket’ untuk membawa kapasiti air dari sumber yang terdekat dari kawasan kebakaran sebelum melepaskannya untuk memadamkan kebakaran yang berlaku.
“Jadi bayangkan juruterbang terpaksa berulang ke tempat sumber air untuk mengambil air dalam kapasiti yang banyak untuk memastikan kebakaran yang berlaku di gunung itu dapat dipadamkan dengan segera daripada terus merebak.
“Selain itu, saya juga pernah mengikuti penerbangan ihsan ke kawasan pedalaman Orang Asli di Pos Kemar, Gerik juga pada tahun lalu bagi membawa seorang penduduk di kawasan itu untuk dibawa ke Hospital Ipoh untuk menerima rawatan segera,” ceritanya.

Nurul Hazirah memberitahu, dalam mendepani cabaran seperti itu, aspek keselamatan tidak pernah diabaikan olehnya mahupun rakan sepasukan yang turut mengikuti operasi berkenaan.
“Dalam segala hal mana sekalipun, aspek keselamatan adalah paling utama apatah lagi menjadi tugasan pemadaman kebakaran mahupun menyelamatkan nyawa insan yang memerlukan malah sebagai PASKUB, kita juga perlu berkordinasi dengan baik bersama juruterbang helikopter yang kita naiki bagi memastikan perjalanan kita lancer dan selamat.
“Malah, menjadi PASKUB juga menjadikan saya lebih lasak dan berdisiplin untuk menempuh pelbagai bencana kebakaran atau situasi kecemasan yang mendesak kehadiran kita sebagai penyelamat udara,” ujarnya.
Untuk rekod, PASKUB merupakan salah satu daripada pasukan khas dalam JBPM yang bertanggungjawab terhadap operasi yang lebih spesifik seperti mencari dan menyelamat, misi khas serta sokongan taktikal.
Anggota PASKUB juga merupakan anggota terlatih dalam pelbagai kemahiran tertentu serta mampu berdepan dengan cabaran yang unik, selain memberikan sokongan penting dalam pelbagai operasi JBPM.

Sementara itu, dalam program Hari Buletin 5.0 Bersama Bomba, pelbagai aktiviti bersama JBPM turut dijalankan dan masyarakat yang hadir turut mengambil kesempatan untuk bergambar bersama helikopter AgustaWestland (AW139) milik JBPM yang ditempatkan di dalam Stadium MBSP, Jalan Betek, selepas diterbangkan khas dari Pangkalan Udara Wilayah Utara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Bertam, Seberang Perai Utara.
Penutupan program disempurnakan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang turut dihadiri Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye dan Exco Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat, Goh Choon Aik.
Selain itu, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN); Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid; Pegawai Daerah, Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah, Dato’ Kamarul Haizal Koderat; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Dato’ Nordin Pauzi; Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Pulau Pinang, Timbalan Pesuruhjaya Bomba (TPjB) Ts. Mohamad Shoki Hamzah; barisan Ahli Majlis MBSP antara kenamaan yang turut serta dalam acara tahunan itu.
Teks & Gambar: MOHD. AIZAT SHARIF FISALLUDDIN