GEORGE TOWN – Pemilik rumah dan operator Tempat Inap Persendirian (TIP) di negeri diberi tempoh tangguh (grace period) selama dua bulan sehingga 1 November 2026 untuk mengemukakan permohonan lesen susulan penguatkuasaan Undang-Undang Kecil Tempat Inap Persendirian (Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Pulau Pinang) 2026 (UUK TIP 2026) yang berkuat kuasa pada 1 Ogos lalu.
Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, H’ng Mooi Lye berkata, tempoh berkenaan diberikan bagi membolehkan pemilik rumah atau operator TIP membuat persediaan dan mengemukakan permohonan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).
UUK TIP 2026 menetapkan bahawa pengoperasian TIP hendaklah mendapatkan lesen daripada PBT serta mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
“Tempoh tangguh ini diberikan bagi membolehkan pemilik rumah atau operator TIP mengemukakan permohonan sebelum tindakan penguatkuasaan diambil berdasarkan peruntukan UUK TIP 2026,” ujarnya pada sidang media di Komtar di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Perancangan Pembangunan MBPP, Tpr. Gs. Mohd. Bashir Sulaiman serta beberapa wakil daripada MBSP dan Bahagian Kerajaan Tempatan.

Menurut Mooi Lye, langkah berkenaan penting bagi memastikan pertumbuhan industri penginapan jangka pendek dapat dikawal secara teratur tanpa menjejaskan ketenteraman, keselamatan dan kesejahteraan penduduk setempat.
“Sebanyak 364 aduan berkaitan kacau ganggu awam dan kesihatan yang melibatkan operasi TIP diterima di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sejak 2020 hingga Mac 2026, manakala Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menerima 24 aduan bagi perkara sama.
Antara isu yang timbul adalah pencemaran bunyi, kekacauan dan kesesakan lalu lintas, selain berpotensi menyumbang kepada masalah sosial serta meningkatkan kos penyelenggaraan kemudahan hartanah strata akibat penggunaan yang tinggi.
“Walaupun TIP menawarkan peluang ekonomi dan menyokong sektor pelancongan Pulau Pinang, pengoperasiannya perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab serta mengambil kira kepentingan penduduk setempat,” katanya.
Mengulas lanjut, Mooi Lye memberitahu bahawa UUK TIP 2026 yang diluluskan melalui Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 10 Jun 2026 turut memperincikan aspek penguatkuasaan yang sebelum ini tidak dinyatakan secara terperinci di bawah garis panduan sedia ada.
“Dengan adanya UUK ini, punca kuasa bagi tindakan terhadap ketidakpatuhan menjadi lebih jelas, termasuk kuasa menyiasat, memasuki premis serta menutup premis,” katanya sambil memaklumkan bahawa undang-undang kecil ini merupakan yang pertama kali diperkenalkan di negara ini melibatkan TIP.
Bagi tujuan pelaksanaan, jelasnya, beberapa fi turut dikenakan antaranya fi pentadbiran ditetapkan sebanyak RM50 bagi setiap permohonan lesen, manakala fi lesen ialah RM1,000 setahun bagi premis sehingga tiga bilik.
“Bagi premis yang mempunyai lebih tiga bilik, tambahan RM200 setahun dikenakan bagi setiap bilik tambahan sehingga maksimum dua bilik tambahan.
“Fi TIP pula ditetapkan RM1,800 setahun bagi setiap unit, manakala fi notis sebanyak RM5 dikenakan bagi setiap notis peringatan bayaran fi tertunggak,” katanya lanjut.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa pengoperasian TIP tidak dibenarkan di premis kerajaan atau badan berkanun, pusat jagaan kesihatan atau kanak-kanak, asrama pekerja, institusi pendidikan swasta serta perumahan kos rendah, kos sederhana rendah, rumah mampu milik dan projek perumahan rakyat.
“Secara umumnya, pengoperasian TIP hanya dibenarkan di kawasan kediaman dan komersial yang ditetapkan, tertakluk kepada kawalan serta ketetapan MBPP dan MBSP mengikut kawasan pentadbiran masing-masing,” tegasnya.
Bagi kawasan pentadbiran MBPP, katanya, Garis Panduan Perancangan Tempat Inap Persendirian telah diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri pada 3 Ogos 2026 dan mula diguna pakai pada tarikh sama.
“Garis panduan itu membenarkan zon guna tanah meliputi perumahan am, perniagaan am dan perniagaan terhad, selaras dengan Draf Rancangan Tempatan Majlis Bandaraya Pulau Pinang 2040.
“Manakala TIP di kawasan Tapak Warisan Dunia George Town tertakluk kepada Rancangan Kawasan Khas (RKK) Tapak Warisan Dunia George Town.
“Antara hartanah komersial yang boleh dipertimbangkan adalah pangsapuri perkhidmatan, small office home office (SOHO), kedai, rumah kedai dan kedai pejabat.
“Bagi hartanah kediaman bertanah hak milik individu pula, rumah sesebuah, berkembar dan teres boleh dipertimbangkan tertakluk kepada pengemukaan Permohonan Kebenaran Merancang Tukar Guna Bangunan kepada MBPP,” katanya lagi.
Walau bagaimanapun, Mooi Lye memaklumkan bahawa semua jenis kediaman berstrata tidak dibenarkan untuk pengoperasian TIP di kawasan pentadbiran MBPP, selain beberapa kawasan perumahan tetap sedia ada yang ditetapkan dalam garis panduan berkenaan.
“Bagi kawasan pentadbiran MBSP pula, pengoperasian TIP adalah tertakluk kepada UUK TIP yang membenarkan aktiviti berkenaan di kawasan kediaman dan komersial.
“Pihak MBSP akan meneliti dan mengkaji semula prosedur serta ketetapan dalaman sedia ada berkaitan permohonan dan pengoperasian TIP, termasuk menetapkan kriteria atau kawasan tertentu yang bersesuaian dengan mengambil kira aspek perancangan dan guna tanah semasa.
“Dengan penguatkuasaan UUK TIP dan Garis Panduan TIP oleh MBPP, Kerajaan Negeri berharap pengoperasian TIP di Pulau Pinang dapat dijalankan secara lebih terkawal, selamat dan teratur, sekali gus mewujudkan keseimbangan antara kepentingan industri pelancongan dengan kesejahteraan komuniti setempat,” katanya.
Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : JOANNE FOONG