GEORGE TOWN – WomenBizSENSE terus memainkan peranan penting dalam memperkasa usahawan wanita di Pulau Pinang menerusi jaringan, perkongsian ilmu, kerjasama dan peluang pertumbuhan sepanjang dua dekad penubuhannya.
Isteri kepada Ketua Menteri, YABhg. Puan Tan Lean Kee berkata, sumbangan WomenBizSENSE sepanjang 20 tahun bukan sahaja memberi impak kepada golongan wanita, malah turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri menerusi penglibatan aktif wanita dalam bidang keusahawanan.
“WomenBizSENSE telah memainkan peranan penting dalam menghimpunkan usahawan wanita, sekali gus mewujudkan peluang untuk jaringan, perkongsian ilmu, kerjasama dan pertumbuhan.
“Lebih penting, pertubuhan ini bukan sahaja menyumbang kepada pemerkasaan wanita, tetapi juga ekonomi Pulau Pinang dengan menggalakkan wanita melibatkan diri secara aktif dalam bidang keusahawanan, membangunkan perniagaan, mewujudkan peluang dan menyumbang kepada komuniti,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan ulang tahun ke-20 WomenBizSENSE yang bertemakan ‘Wings of Legacy – 20 Years of Transformation’, di sini pada 21 Ogos 2026.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Ulang Tahun ke-20 WomenBizSENSE, Traccy Yeap; Pengerusi WomenBizSENSE, Mily Goh; Pengasas Bersama WomenBizSENSE, Datin Josephine Yoong dan Krista Goon serta mantan Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Dato’ Seri Chong Eng.

Dalam pada itu, Lean Kee turut menghargai komitmen WomenBizSENSE dalam melaksanakan pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), khususnya bagi membantu golongan miskin, kurang bernasib baik dan rentan dalam komuniti.
“Usaha WomenBizSENSE selari dengan aspirasi Penang2030 yang memberi penekanan terhadap pertumbuhan inklusif, kualiti hidup yang tinggi serta pembentukan komuniti yang lebih kukuh dan berdaya tahan.
“Pemerkasaan sebenar bukan sekadar mengenai kejayaan dalam perniagaan, tetapi bagaimana kita menggunakan kejayaan, jaringan dan sumber yang ada untuk membawa perubahan kepada kehidupan orang lain,” tegasnya.
Mengulas lanjut, Lean Kee turut menyatakan bahawa WomenBizSENSE merupakan antara organisasi usahawan wanita yang terawal di Pulau Pinang dan telah membuka ruang kepada lebih banyak organisasi serta jaringan wanita untuk berkembang di negeri ini.
“Dalam pelbagai cara, WomenBizSENSE telah membuka jalan dan membuktikan apa yang mampu dicapai oleh wanita apabila mereka bersatu dengan tujuan yang sama.
“Justeru, diharapkan WomenBizSENSE terus mengembangkan sayap dengan membawa lebih ramai wanita menyertai jaringan ini, membimbing generasi baharu usahawan wanita serta meneruskan sumbangan ke arah pembentukan Pulau Pinang yang lebih kukuh dan inklusif,” tambahnya.
Teks & Gambar: NUR ASHIKIN ISMAIL