Orang ramai dipelawa sertai Fiesta Sungai Perai, 22 September ini

Admin

SEBERANG JAYA – Seluruh masyarakat di negeri ini khususnya komuniti Seberang Perai dijemput memeriahkan penganjuran Fiesta Sungai Perai pada 22 September ini bertempat di Taman Ampang Jajar, di sini.

Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, program yang dianjurkan dengan kerjasama Think City Sdn. Bhd., Zart Eventive Enterprise dan Jabatan Pengairan & Saliran itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya sungai kepada manusia.

“Fiesta Sungai Perai adalah salah satu pengisian di bawah Program Butterworth Baharu yang berkonsepkan 7Ps dan ia terbuka kepada orang ramai berumur 18 tahun ke atas.

“Program ini dianjurkan untuk mempromosikan aktivitu gaya hidup sihat dan memberi pendidikan serta kesedaran terhadap masyarakat mengenai pentingnya menjaga kebersihan sungai dan memelihara alam semula jadi.

“Selain itu, festival ini juga boleh dijadikan sebagai salah satu platform dalam mengetengahkan aktiviti eko-pelancongan di Seberang Perai,” katanya pada sidang media di Pejabat MPSP, di sini sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Rozali memberitahu, program yang akan berlangsung mulai jam 3.00 petang hingga 11.00 malam itu akan diisi dengan pelbagai aktiviti menarik.

“Antaranya, pameran oleh Agensi Kerajaan, makan sakan, fesyen kitar semula, bengkel kayak, bengkel seruling, persembahan skateboard, konsert dan banyak lagi,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS