P. Pinang mampu jadi harapan belia

Admin

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

JURUStatus Pulau Pinang yang diiktiraf sebagai negeri ke-8 paling selamat untuk didiami di Asia dan negeri paling selamat untuk diduduki di Malaysia baru-baru ini diharap dapat memberi harapan serta manfaat kepada belia terbanyak di negeri berkenaan.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng berkata demikian semasa merasmikan majlis penutupan Karnival Meriah Belia Pulau Pinang 2012 baru-baru ini.

“Saya mengharapkan agar belia-belia pada hari ini teruslah berusaha untuk menikmati kehidupan yang lebih baik dan selamat di hari muka,” ujar beliau di Concept Hall, Autocity di sini.

Turut berucap pada karnival itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti, Lydia Ong Kok Fooi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Ong Chin Wen, barisan pemimpin utama Majlis Belia Negeri Pulau Pinang serta wakil pertubuhan gabungan belia setempat turut hadir pada majlis tersebut.

Guan Eng berkata, dasar-dasar Kerajaan Negeri dalam memartabatkan ilmu, menyuburkan kebebasan bersuara serta membina iklim ekonomi yang memberangsangkan sebenarnya memberi peluang kepada belia di negeri berkenaan.

Justeru, beliau menyeru seluruh belia supaya merebut peluang dan ruang secara sihat di negeri berkenaan.

“Semoga terus maju jaya dan sukses pada masa hadapan,” ujar beliau.

Pameran motosikal berkuasa tinggi, acara bertempur paintball, pameran audio kereta, kejohanan futsal, acara sepak raga bulatan serta persembahan kebudayaan antara aktiviti menarik dalam karnival tersebut.

KETUA Menteri dan Lydia Ong Kok Fooi (hadapan, empat dari kanan) memalu gong sebagai gimik perasmian penutup Karnival Meriah Belia Pulau Pinang 2012 di Concept Hall, Autocity, di sini baru-baru ini.
KETUA Menteri dan Lydia Ong Kok Fooi (hadapan, empat dari kanan) memalu
gong sebagai gimik perasmian penutup Karnival Meriah Belia Pulau
Pinang 2012 di Concept Hall, Autocity, di sini baru-baru ini.