Mekanik basikal profesional negara idam cipta jenama basikal sendiri

Admin

 

GAMBAR kenangan ketika bersama Pasukan LeTua Cycling tahun lalu.
GAMBAR kenangan ketika bersama Pasukan LeTua Cycling
tahun lalu.

MINAT mendalam serta sikap beliau yang sukakan cabaran membuatkan anak muda berusia 29 tahun ini tidak renggang dengan basikal. Mula menceburi diri secara serius dalam arena berbasikal ketika mewakili negeri dalam temasya Sukan Malaysia 2004, kini, beliau merupakan seorang mekanik basikal profesional bertaraf antarabangsa.

Ikuti temubual ekslusif wartawan Buletin Mutiara (BM), AINUL WARDAH SOHILLI dan jurugambar, MOHD. HAFIZ TAJUDIN bersama mekanik basikal profesional, MOHD. FAIZAL ABD. WAHAB di bengkel basikal beliau, Dreamwerkz Cycle di Jalan Perak, di sini.

BM : Mungkin Faizal boleh berkongsi pengalaman serta sedikit sebanyak pembabitan dalam arena berbasikal ini sehingga berjaya menjadi mekanik basikal profesional di peringkat antarabangsa.

MOHD. FAIZAL (FAIZAL) : Saya mula menceburi diri dengan basikal sejak di bangku sekolah lagi. Zaman budak-budak suka sangat main kayuh basikal, lumba basikal kat (di) kawasan rumah. Alhamdulillah, keluarga pun sokong sehingga tercetus minat yang sangat mendalam dengan basikal ini.

Sampai satu tahap, lepas tamat persekolahan, saya kerja dengan salah sebuah kilang basikal. Dari situ, saya belajar asas pembuatan, tatacara penyelenggaraan dan kenali komponen-komponen basikal. Masa kerja kat kilang ini, saya ulang alik dari Seberang Perai ke bahagian pulau Pulau Pinang dengan mengayuh basikal. Semua kerana minat, sanggup kayuh setiap hari walaupun cuaca terik. Orang kata minat mengatasi segalanya.

Lepas lima tahun, saya buka perniagaan sendiri, Dreamwerkz Cycle  Lebih dari 10 tahun berkecimpung dalam arena basikal ini sama ada sebagai pekerja di kilang basikal, pelumba basikal, mekanik basikal dan kini menjadi pengedar untuk produk basikal berjenama Pipedream Cycle dari United Kingdom.

BM : Apakah pencapaian tertinggi dan kejayaan yang Faizal capai sehingga kini?

FAIZAL : Bagi saya, menyertai Pasukan Pure Black Racing (PBR) dari New Zealand merupakan pencapaian tertinggi kini. Malah, pasukan PBR baru-baru ini telah menjadi juara keseluruhan perlumbaan Tour de Borneo.

Banyak saya pelajari dengan PBR. Antaranya pengurusan masa, pengurusan ketika pelumbaan, penyusunan perlumbaan dan penyelenggaraan. Bekerja dengan pelumba basikal profesional bertaraf global juga memberi peluang untuk saya belajar sesuatu yang baru. Bukan sahaja melalui pengalaman mereka (pelumba profesional), malah, dapat kenalan yang sama-sama mempunyai minat dengan basikal.

Dalam pada itu, bengkel dimiliki kini juga merupakan antara pencapaian terbaik saya sehingga kini. Bengkel ini mengkhususkan kepada perkhidmatan penyelenggaraan terutama kategori ‘mountain bikedan ‘racing bike’. Bukan mudah menyelenggara basikal-basikal ini, bukan sahaja kerana komponen dan peralatan yang kompleks, tetapi juga kerana harga basikal itu sendiri.

BM : Bagi mereka yang berminat untuk mengetahui tentang basikal pula, apa pandangan dan harapan Faizal?

FAIZAL : Mudah saja, kalau punya tahap ‘ passionate’ (minat) yang tinggi, apa sahaja, bukan sahaja basikal, boleh dipelajari dan diceburi. Kelayakan untuk berkecimpung dengan basikal ini bermula dengan minat.

Sebab itu, di sini (bengkel), saya letak majalah-majalah berkaitan basikal. Saya juga akanberkomunikasi dan berkongsi pengalaman serta minat saya dengan pelanggan. Tak ada minat apa pun tak boleh.

PEMERIKSAAN komponen pemasangan basikal yang lengkap menjadi sebahagian rutin di Dreamwerkz Cycle
PEMERIKSAAN komponen
pemasangan basikal
yang lengkap menjadi
sebahagian rutin di
Dreamwerkz Cycle

BM : Apakah harapan dan iltizam Faizal dalam arena ini?

FAIZAL : Minat saya sebenarnya tidak terhad untuk baiki basikal dan penyelenggaraan sahaja, tapi, saya juga bercita-cita untuk adakan label saya sendiri. InsyaAllah, kalau berpeluang saya akan cipta basikal saya sendiri.

Selain itu, kalau boleh saya memang nak (hendak) kongsi pengetahuan saya dalam bidang ini dengan anak-anak muda di Malaysia. Sebabnya saya boleh katakan hampir tiada langsung anak-anak muda yang serius atau mempunyai minat untuk menceburi bidang mekanik profesional ini (basikal). Memang susah nak cari.

Kalau boleh, wujudkan subjek khas dalam kemahiran penyelenggaraan basikal seperti negara-negara Eropah lain yang ada institut khas berbasikal. Dari situ, kita boleh pupuk minat anak-anak muda tempatan dan jadikan minat itu sebagai kerjaya profesional. Ramai yang tidak tahu, mekanik basikal sebenarnya mempunyai pasarannya tersendiri dan ‘ value’ (nilai) yang tinggi.

BM : Jadi Faizal, apa pandangan Faizal tentang usaha Kerajaan Negeri mewujudkan laluan berbasikal khas di sini?

FAIZAL : Bagus. Saya rasa Pulau Pinang merupakan satu-satunya negeri yang mempunyai geometri dan dimensi terbaik di Malaysia. Laluannya ideal, ada laluan berbukit, laluan atas jalan dan laluan lasak.

Memandangkan bahagian pulau ini terdapat laluan yang terbaik dan kita mampu galakan orang ramai untuk berbasikal, saya rasa ia mampu memberi impak yang besar dalam bidang ini.

Selain itu, ia merupakan langkah terbaik untuk pelancongan sukan di Pulau Pinang. Tambahan dengan adanya Bike Park seperti di Sungai Ara, saya rasa akan ada ramai pelumba atau penggiat sukan ekstrem berbasikal akan datang ke sini (Pulau Pinang) dan menyumbang ke arah kemajuan ekonomi dan kerancakan pelancongan sukan negeri.

MOHD. Faizal Abd. Wahab menjadikan cenderahati diterima daripada pelumba profesional sebagai pembakar semangat untuk terus berkecimpung dalam arena mekanikal basikal.
MOHD. Faizal Abd. Wahab menjadikan cenderahati
diterima daripada pelumba profesional sebagai
pembakar semangat untuk terus berkecimpung
dalam arena mekanikal basikal.