P. Pinang, negeri pertama sumbang insentif perkhidmatan kepada operator bas sekolah berdaftar

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang buat julung kalinya mengumumkan pemberian insentif perkhidmatan kepada operator bas sekolah sah berdaftar di bawah Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) di negeri ini membabitkan jumlah peruntukan bernilai RM462,000 bagi tahun 2016.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, pemberian insentif perkhidmatan tersebut adalah yang pertama seumpamanya kepada operator bas sekolah berdaftar di Malaysia.

“Pemberian (insentif perkhidmatan) ini adalah sebagai pengiktirafan kepada operator bas sekolah berdaftar di Pulau Pinang atas sumbangan dan keprihatinan mereka menjaga anak-anak kita, pergi dan pulang dari sekolah setiap hari.

“Anggaplah ini ‘bonus’ khas perkhidmatan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri untuk operator bas sekolah berdaftar di Pulau Pinang.

“Sungguhpun jumlahnya tidak seberapa, namun, ia jelas menunjukkan Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang hari ini benar-benar mahu membantu semua rakyat Pulau Pinang mengurangkan bebanan hidup dan menghadapi masalah kenaikan kos sara hidup,” ucapnya pada Majlis Pemberian Insentif Perkhidmatan kepada Operator Bas Sekolah di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow; Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng; Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato’ Ghazali Derahman.

Dalam pada itu, Yang diPertua Persatuan Operator Bas Sekolah Negeri Pulau Pinang, Loh Choon Beng ketika ditemui menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang yang dipimpin oleh Guan Eng.

“Terima kasih kepada CM (Ketua Menteri) dan Kerajaan Negeri kerana prihatin dan peduli rakyat. “Pemberian (insentif perkhidmatan) ini adalah sebagai galakan untuk semua operator bas sekolah bagi menyediakan perkhidmatan yang lebih baik dan selamat untuk pelajar-pelajar sekolah,” katanya.

Seramai 621 operator bas sekolah dengan jumlah permit sebanyak 770 permit menerima insentif berjumlah RM462,000 iaitu 354 permit di bahagian pulau (RM212,400) dan 416 permit di Seberang Perai (RM249,600).

Kerajaan Negeri menyediakan bayaran insentif perkhidmatan sebanyak RM600 setahun bagi setiap permit tahun ini dengan setiap operator layak menerima bayaran bagi maksimum dua permit dan bayaran berikutnya bagi tahun 2017, akan dibuat dua kali setahun.

Sementara itu, bagi M. Bavany, 30-an dari Bayan Baru, beliau amat terharu apabila menerima insentif perkhidmatan daripada Kerajaan Negeri.

“Selama 15 tahun bekerja sebagai pemandu (operator) bas sekolah, inilah kali pertama saya menerima duit (insentif perkhidmatan) daripada kerajaan… sebelum ini tidak pernah ada (terima insentif) apa-apa,” katanya yang turut berterima kasih kepada Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Seorang lagi penerima yang tidak mahu dikenali turut bersyukur dengan pemberian insentif perkhidmatan ini.

“Syukurlah, lagipun duit (insentif perkhidmatan) ini dapatlah digunakan untuk menyelenggara bas sekolah….sesi persekolahan baru pun tak lama lagi dah,” katanya yang hadir bersama-sama isteri.