Samsury penerima Anugerah Khas Tokoh Maulidur Rasul 1438H

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Bekas Ahli Parlimen (MP) kawasan Balik Pulau selama tiga penggal pada 1970-an, Datuk Seri Samsury @ Shamsuri Muhamad Saleh, 79, dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Tokoh Maulidur Rasul 1438 Hijrah bersamaan 2016 Masihi Peringkat Negeri Pulau Pinang.

Beliau yang ditemui pada Majlis Himpunan Ummah sempena Maulidur Rasul di sini menyifatkan anugerah yang diterima sebagai penghargaan Kerajaan Negeri terhadap sumbangannya dalam pembangunan agama Islam di Pulau Pinang.

“Alhamdulillah, saya amat bersyukur atas penganugerahan ini dan tidak lupa kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang, terima kasih,” ujarnya yang ditemani isteri, Datin Seri Jamaliah Rapiee, 73.

Dilahirkan di Bayan Lepas pada 13 Oktober 1937, beliau pernah menjadi wakil Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di New York, Amerika Syarikat pada tahun 1976 dengan membawa suara Malaysia berhubung dasar apartied.

Bapa kepada sembilan cahaya mata tersebut juga masih lagi aktif dalam pengurusan sekolah Maahad Al-Mashoor Al-Islami yang terletak di Simpang Empat, Balik Pulau.

Ekoran pengiktirafan tersebut, Samsury menerima wang tunai bernilai RM6,000 beserta trofi, sijil pengiktirafan dan medal yang disampaikan oleh Tuan Yang Terutama (TYT) Di-Pertua Negeri Tun Dr. Abdul Rahman Abbas.

Turut hadir, isteri TYT, Toh Puan Majimor Shariff; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon dan isteri; Exco Hal Ehwal Agama, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim dan isteri; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus dan isteri serta dif-dif kenamaan negeri.

Pada majlis itu, Abdul Rahman turut menyampaikan anugerah kepada empat penerima lain iaitu Pensyarah Kanan di Universiti Putra Malaysia (UPM) yang merupakan anak jati Pulau Pinang, Mohd. Sukki Othman, 42 (Anugerah Qudwatur Rasul, Shabab); Yusuff Ahmad, 60 (Anugerah Qudwatur Rasul, Kemasyarakatan); guru di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Balik Pulau, Mohd. Faizal Fadzil, 32 (Anugerah Qudwatur Rasul, Inovasi) dan guru agama di Madrasah alDiniah Al-Islami, Jau Zaharah Shaari, 66 (Anugerah Qudwatur Rasul, Pendidikan).

Mereka masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM3,500 beserta sijil penghargaan dan trofi.

Bertemakan ‘Al-Islam Rahmatun Lil ‘Alamin’ adalah bertepatan dengan usaha Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang dalam memartabatkan kegemilangan agama Islam di negeri ini, di samping menyatupadukan rakyat pelbagai latar belakang dalam suasana sejahtera dan harmoni.

Hampir 3,000 orang mengimarahkan sambutan Maulidur Rasul tahun ini dengan kehadiran 49 kontinjen perarakan yang terdiri daripada 2,352 ahli kontinjen. Tenaga Nasional Berhad (TNB), Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Kompleks Penjara Pulau Pinang dan Ibu Pejabat Kontinjen Pulau Pinang dinobatkan sebagai Kontinjen Terbaik dan membawa pulang wang tunai RM1,000, sijil serta trofi.

Serentak sambutan tahun ini, turut dilancarkan Pasukan Sukarelawan Khidmat Komuniti (PSKK) Negeri Pulau Pinang, hasil inisiatif Kerajaan Negeri dan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dalam memberi sumbangan tenaga dan bimbingan kepada komuniti yang memerlukan di negeri ini.