P. Pinang tiada empangan boleh lepas air, respons PBAPP

GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) tidak pernah melepaskan air mentah ke Sungai Muda atau laut, sebagaimana didakwa oleh sekumpulan pesawah di Daerah Seberang Perai Utara (SPU) pada 7 April lalu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa, di Pulau Pinang ini sendiri sebenarnya tiada empangan yang direka bentuk untuk melepaskan air ke Sungai Muda, sungguhpun terdapat Skim Air Ampang Jajar Sungai Muda (SMWSB) untuk pepasangan air mentah di Rantau Panjang.

“Terdapat limpahan air di Ampang Jajar ini kerana ia (SMWSB) tidak direka untuk menghentikan sepenuhnya atau menghalang aliran air dari Sungai Muda ke Selat Melaka.

“Limpahan air di Ampang Jajar, disebabkan oleh paras sungai yang tinggi, mungkin berpunca dari hujan yang lebih di sekitar kawasan tadahan air (lembangan) Muda.

“(Satu lagi kemungkinan adalah) pelepasan air dari dua empangan yang direka bentuk untuk melepaskan air ke dalam Sungai Muda (iaitu) Empangan Beris dan Empangan Muda di Kedah.

“PBAPP tidak mengawal pelepasan air dari Empangan Beris dan Empangan Muda di (bawah Kerajaan Negeri) Kedah, dan, kita (PBAPP) tidak boleh mengawal jumlah hujan di kawasan tadahan,” katanya pada sidang media bertarikh 9 April lalu di sini.

Mengulas lanjut, Jaseni memberitahu, struktur SMWSB yang dibina pada tahun 1973 demi mengelak kemasinan air laut dari Selat Melaka ke kawasan abstraksi air di sepanjang Sungai Muda sehingga kini masih berfungsi dengan baik.

“Ketinggiannya adalah tetap dan tidak boleh dinaikkan atau diselaraskan, ia tidak boleh dimanipulasi dalam apa-apa cara untuk mengurangkan jumlah limpahan,” jelasnya sambil memberitahu bahawa fakta tersebut dapat disahkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sendiri.

Justeru, Jaseni sekali lagi memberitahu bahawa cara yang lebih selamat untuk mengurangkan limpahan tersebut adalah dengan mengurangkan pelepasan air dari Empangan Beris dan Empangan Muda di negeri Kedah.

“Apabila kita (Kerajaan Pulau Pinang) syorkan tidak dibuat pengairan, PBAPP menyatakan bahawa bekalan air mentah adalah lebih penting daripada penanaman padi.

“Contohnya, kalau tidak buat pengairan, hanya tidak ada beras, tapi kalau tidak ada bekalan air, semua benda (keperluan asasi rakyat) akan tiada.

“Langkah (mengurangkan pelepasan air dari Kedah) ini akan mengelakkan pembaziran air dan akan membantu mengekalkan paras empangan ini untuk seberapa lama yang boleh,”ujar beliau.

}